Artikel

Pemain Jepun Kei Hirose Tinggalkan JDT Kembali Ke Liga Indonesia

Pemain tengah kelahiran Jepun, Kei Hirose menjadi pemain import terbaru yang meninggalkan pasukan gergasi bola sepak Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Pemain berusia 26 tahun ini ditandatangani dan diperkenalkan sebagai pemain skuad Harimau Selatan pada Januari 2020. Ketika itu, kedatangannya diumumkan bersama-sama penyerang Sepanyol, Fernando Rodriguez. 

Bagaimanapun, kelibatnya hanya bertumpu bersama pasukan simpanan, JDT II dan tidak pernah mendapat tempat dalam skuad utama yang beraksi di pentas Liga Super.

Menerusi satu kemaskini terbaru oleh Borneo FC yang beraksi dalam saingan Liga 1 Indonesia, Kei telah diumumkan secara rasmi menyertai pasukan tersebut, semalam.

Untuk makluman semua, sebelum menyertai JDT, Kei telah mencipta nama bersama sebuah pasukan yang berpangkalan di Pulau Jawa iaitu Persela Lamongan.

Sebagai tambahan, minggu lalu JDT mengumumkan melepaskan penyerang sayap import merangkap penjaring terbanyak kelab sepanjang zaman, Gonzalo Cabrera setelah 5 musim menyarung jersi skuad Merah Biru.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

komen