Written by 5:57 pm Bola Sepak, Malaysia

Amirul Azhan Mahu Jadikan Kedah Sebagai ‘Pintu’ Kembali Bersama Skuad Kebangsaan

Penghijrahan pertahanan kanan, Amirul Azhan Aznan daripada Perak ke Kedah Darul Aman (Kedah) turut diiringi dengan sasaran untuk kembali menyertai skuad kebangsaan pada tahun hadapan.

Selain itu, pemain berusia 28 tahun ini turut meletakkan sasaran untuk membantu skuad Hijau Kuning mara ke pentas final Piala Malaysia atau Piala FA.

Difahamkan, khidmat Azhan dipancing oleh Kedah setelah bek kanan sebelum ini, Rizal Ghazali tidak menyambung kontrak dan menyertai Sabah yang kini dipimpin oleh Datuk Ong Kim Swee.

“Apabila saya dipanggil untuk beraksi ke Kedah, pihak pengurusan juga memberitahu saya mengenai sasaran pasukan musim depan dan ia selari dengan apa yang saya inginkan.

“Sasaran peribadi saya adalah untuk membantu pasukan melangkah ke pentas final tidak kira Piala Malaysia atau Piala FA dan sekurang-kurangnya dapat menduduki tiga teratas Liga Super.

“Tapi yang penting sekali adalah saya nak jadikan musim 2022 sebagai tahun kebangkitan semula prestasi saya supaya dapat dipanggil semula menyertai skuad kebangsaan.

“Masa dengan Perak musim ini, mungkin agak susah untuk saya dan pemain lain menyerlah melihat kepada prestasi pasukan itu sendiri, tetapi saya harap tahun depan nasib yang berbeza untuk kami semua agar lebih baik”, katanya.

Untuk makluman semua, Azhan pernah dipanggil untuk menyarung jersi skuad kebangsaan ketika membantu Malaysia meraih naib juara Piala AFF Suzuki 2018.

Sebagai rekod, ini merupakan kali pertama pemain kelahiran Ipoh berhijrah meninggalkan Perak atau dikenali sebagai skuad The Bos Gaurus setelah 6 musim berbakti di sana.

Featured Image: Perak FC

(Visited 1,429 times, 1 visits today)
Close