Written by 10:27 am Bola Sepak, Malaysia

Bekas Penyerang, Hairuddin Omar Diserap Sertai Barisan Kejurulatihan Terengganu

Semifinalis Piala Malaysia 2021, Terengganu FC melakukan sedikit penambahbaikan terhadap barisan kejurulatihannya untuk mengharungi saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Posisi ketua jurulatih masih lagi dipegang oleh jurulatih muda berbakat, Nafuzi Zain sambil dibantu oleh Tengku Hazman Raja Hassan sebagai penolong ketua jurulatih.

Namun, menerusi satu kemaskini terbaru oleh pelbagai platform laman sosial milik kelab berpangkalan di pantai timur ini, bekas penyerang skuad kebangsaan dan Terengganu, Hairuddin Omar turut diserap masuk sebagai penolong ketua jurulatih.

Sebagai rekod, Hairuddin atau dikenali sebagai Hai-O mempunyai pengalaman berkhidmat sebagai staf kejurulatihan bersama skuad kebangsaan bawah 19 tahun (B-19) di bawah teraju Bojan Hodak pada tahun 2017-2018.

Ketika itu, skuad B-19 tahun negara yang turut diwakili oleh pemain Terengganu pada saat ini, Nik Akif Syahiran berjaya membawa Malaysia muncul juara di Kejohanan B-19 AFF 2018 dengan menundukkan Myanmar pada perlawanan akhir.

Sementara itu, Terengganu bertindak mengekalkan muka lama untuk posisi staf kejurulatihan yang lain seperti Mohamad Efindy (jurulatih kecergasan), Mohd Yazid Mohd Yassin (jurulatih penjaga gol), Muhammad Azim (penganalisis), Lee Leong Tiong (doktor) dan Zulkifli Mohd Zain (fisioterapi).

Featured Image: Terengganu FA

(Visited 3,055 times, 3 visits today)
Close