Artikel

Bekas Penyerang Liga Thai, Caion Isi Kekosongan Ditinggalkan Ifedayo

Pasukan berpangkalan di Lembah Klang, Selangor, pada hari ini, mengumumkan ketibaan penyerang baharunya untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Ifedayo Olusegun yang berhijrah ke Melaka United.

Kekosongan yang ditinggalkan oleh Ifedayo yang menjaringkan 26 gol dalam saingan Liga Super 2021 akan digantikan dengan pemain kelahiran Brazil, Herlison Caion de Sousa Ferreira atau dikenali sebagai Caion yang berusia 31 tahun.

Dalam empat musim yang lalu, karier Caion banyak bertumpu dalam saingan Liga Thailand dengan dia menyertai pasukan seperti Navy, PT Prachuap, Chonburi, Suphanburi dan Muangkan United dengan rekod 85 penampilan dan 34 gol secara keseluruhan.

Menurut ketua jurulatih Selangor, Michael Feichtenbeiner, pemain yang mempunyai ketinggian 1.84 meter ini dibawa masuk oleh skuad Red Giants kerana yakin dengan kemampuannya untuk menjaringkan gol lebih-lebih lagi telah terbukti dalam saingan bola sepak asia tenggara sejak 4-5 tahun lalu.

Selain Thailand, Caion turut mempunyai pengalaman beraksi di tanah kelahirannya, Liga Brazil serta Liga Korea, Liga Iraq dan Liga Denmark.

Untuk makluman semua, ini merupakan pemain import ketiga yang dibawa masuk oleh Selangor selepas mengumumkan ketibaan Yazan Al Arab (pertahanan, Jordan) dan Baha Abdelrahman (pemain tengah, Jordan).

komen