Written by 12:14 pm Badminton, Malaysia

Penstrukturan BAM: Choong Hann Ketuai ‘Singles’ & Rexy Pimpin ‘Doubles’

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan struktur baharu kejurulatihannya yang menyaksikan ianya akan terdiri daripada dua bahagian sahaja berbanding lima bahagian sebelum ini.

Menerusi makluman oleh Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh, dua bahagian tersebut adalah perseorangan (singles) yang akan diketuai oleh Wong Choong Hann serta beregu (doubles) yang akan dipimpin oleh Rexy Mainaky.

Ini bermakna, Choong Hann dan Rexy akan memegang jawatan baharu sebagai Pengarah Kejurulatihan (Perseorangan) dan Pengarah Kejurulatihan (Beregu) masing-masing bermula saat ini.

Dimaklumkan, penstrukturan ini dilakukan oleh Jawatankuasa Kejurulatihan & Latihan selepas melakukan ‘SWOT Analysis’ terhadap pemain-pemain kebangsaan ketika menyertai kejohanan di eropah dan Bali, Indonesia sepanjang tempoh tiga bulan lalu.

Tambah Kenny lagi, struktur baharu ini juga bertujuan untuk mengatasi kelemahan dalam skuad kebangsaan seperti kekurangan konsistensi, struktur kejurulatihan pelbagai lapisan, kurang fokus dalam latihan dan kekurangan kekuatan mental.

Untuk makluman semua, sebelum ini Choong Hann berperanan sebagai Pengarah Kejurulatihan manakala Rexy yang kembali bersama BAM awal Disember lalu diberikan peranan sebagai Timbalan Pengarah Kejurulatihan.  

(Visited 4,113 times, 1 visits today)
Close