Written by 4:29 pm Bola Sepak, Malaysia

Terengganu Ikat Pertahanan Kelahiran UAE Selama Setahun

Pasukan berpangkalan di pantai timur, Terengganu FC mengumumkan kedatangan pemain import keempatnya yang diikat selama setahun untuk mengharungi saingan Liga Malaysia 2022, pada hari ini.

Pemain yang dimaksudkan itu ialah Luke Woodland yang berusia 26 tahun dan merupakan pertahanan skuad kebangsaan Filipina yang lahir di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Walaupun lahir di UAE, Luke yang mempunyai ayah yang berdarah Inggeris serta ibu yang berketurunan Filipina berhijrah ke Liverpool, England ketika dia berusia dua tahun sebelum dia memulakan karier bola sepak remajanya di sana. 

Kedatangan pemain yang turut mampu beraksi di posisi ‘defensive midfielder’ ini sekaligus akan mengisi slot pemain import asia tenggara (ASEAN) yang ditinggalkan oleh rakan senegaranya, Carli de Murga.

Menurut ketua jurulatih Terengganu, Nafuzi Zain, pemain ini akan memperkemaskan benteng pertahanan pasukannya serta ketinggian 1.83 meter yang dimilikinya pula dapat membantu ketika perebutan bola di udara.

Luke dijangka tidak mengambil masa untuk menyesuaikan diri memandangkan dia pernah beraksi dalam saingan Liga Malaysia bersama Kuala Lumpur pada tahun 2019.

Sebagai rekod, selain Luke, Terengganu telah mengikat Kpah Sherman (Liberia), Tchetche Kipre (Ivory Coast) dan Pape Diakite (Senegal) serta mengekalkan Habib Haroon (Bahrain) dan Jordan Mintah (Ghana). 

(Visited 5,214 times, 2 visits today)
Close