Written by 3:30 pm Badminton, Malaysia

‘Patatimo Boys’ Disenaraikan Beraksi Di Kejohanan Syed Modi 2022 – Jelajah Dunia Super 300 BWF

Pasangan beregu lelaki remaja sedang meningkat naik, Wan Muhammad Arif Wan Junaidi dan Muhammad Haikal Nazri yang berusia 19 tahun masing-masing bakal membuat kemunculan pertama dalam siri Jelajah Dunia BWF bertaraf Super 300, bermula tahun hadapan.

Menerusi ‘M&Q Report’ yang dimuat naik oleh laman Persekutuan Badminton Dunia (BWF), pasangan yang terkenal dengan julukan ‘Patatimo Boys’ ini tersenarai untuk menyertai Kejohanan Antarabangsa Syed Modi 2022 yang akan berlangsung di Lucknow, India bermula 18 hingga 23 Januari 2022.

Tangkap layar M&Q Report bagi Kejohanan Antarabangsa Syed Modi 2022

Sepanjang tahun 2021, gandingan yang berasal dari Terengganu dan Kelantan ini telah menyertai 8 kejohanan berstatus Gred 3 oleh BWF. Daripada 8 kejohanan yang disertai, gandingan Arif-Haikal muncul juara sebanyak 3 kali di Terbuka Austria, Kejohanan Antarabangsa Hellas dan Kejohanan Antarabangsa Ukraine.

Selain itu, gandingan beregu bertangan kidal ini turut muncul naib juara sebanyak dua kali di Kejohanan Antarabangsa Latvia dan Terbuka Scotland. Kejayaan ini berhasil meletakkan mereka di ranking ke-103 dunia pada tahun 2021.

Sementara itu, kejohanan Syed Modi ini turut menyaksikan 3 beregu lelaki Malaysia yang lain turut menyertainya. Antaranya, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun (ranking ke-64), Tan Wee Kiong dan Tan Kian Meng (ranking ke-107) serta gandingan baharu, Lim Khim Wah dan Nur Mohd Azriyn Ayub.

Featured Image: BAM

(Visited 5,666 times, 3 visits today)
Close