Shahrul Saad Sertai Sri Pahang Hanya Khabar Angin, Kata CEO
May 5, 2021 Hafizuddin Omar

Bergoncang arena bola sepak Malaysia semalam apabila pertahanan skuad kebangsaan dan Perak, Shahrul Saad dikatakan meninggalkan pasukannya dan bakal menyertai Sri Pahang.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sri Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang mengakui sedang merekrut pemain-pemain baharu kalangan pemain tempatan untuk memperkukuhkan pasukannya pada jendela perpindahan kali ini.

Bagaimanapun, Suffian menyifatkan perpindahan pertahanan berusia 27 tahun itu ke skuad Tok Gajah sebagai khabar angin semata-mata.

Datuk Mohammed Suffian Awang – Foto: MFL

“Setakat ini isu Shahrul Saad menyertai Sri Pahang yang tular di media sosial hari ini (semalam) hanya merupakan khabar angin yang saya sendiri tidak tahu dari mana portal berkenaan memetik sumber kesahihan berita ini.

“Ya, saya akui Sri Pahang seperti kelab-kelab Liga Malaysia lain pun sedang giat mencari pemain tempatan dengan pembukaan jendela perpindahan yang dibuka sejak 3 Mei lalu.

“Cuma pada masa ini fokus kami pada pusingan kedua ini adalah untuk memperbaiki kedudukan pasukan dalam saingan liga, bermula dengan menentang Selangor FC (hari ini),” katanya seperti dipetik daripada Sinar Harian.

Sementara itu, menerusi satu laporan media tempatan yang lain, Suffian turut mengesahkan Sri Pahang telah mengikat khidmat empat pemain import baharu.

Mereka ialah Aung Kaun Mann (Myanmar), Manuel Hildago (Argentina), Abubakar Yakubu (Ghana) dan Kenny Athiu (Australia).

Jelasnya lagi, tiga daripada empat pemain yang dinyatakan berkemungkinan akan diturunkan pada perlawanan malam ini menentang pasukan di tangga kelima Liga Super, Selangor di Stadium Darul Makmur.

Featured Image: Perak FC

Komen