JDT Tambat Seorang Lagi Pemain Naturalisasi, Guilherme De Paula – ‘Backup’ Kepada Bergson
May 8, 2021 Hafizuddin Omar

Johor Darul Ta’zim (JDT) nampaknya telah menambat seorang lagi pemain naturalisasi ke dalam skuadnya iaitu Guilherme De Paula bagi memperkukuhkan lagi pasukannya untuk mengharungi saingan Liga Malaysia dan Liga Juara-Juara AFC, musim ini.

De Paula bersama Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards.

Kelab berpangkalan di selatan semenanjung tanah air itu mengumumkan kemasukan De Paula secara rasminya dalam satu majlis menandatangani pemain baharu di Ibu Pejabat JDT, pada hari ini.

Menurut makluman kelab, kehadiran De Paula selain daripada kelibat penyerang tempatan sedia ada, Syafiq Ahmad untuk menjadi ‘backup’ kepada kepada penyerang utama, Bergson da Silva.

Untuk makluman, De Paula merupakan pemain kelahiran Brazil. Bagaimanapun, dia disahkan menjadi pemain naturalisasi selepas pasukan lamanya, Perak mendaftarkannya sebagai pemain tempatan untuk mengharungi saingan Liga Super, musim ini.

Untuk rekod, penyerang berusia 34 tahun ini telah beraksi dalam saingan Liga Malaysia bermula pada tahun 2015 bersama Selangor. Dia kemudiannya berkelana ke pasukan berpangkalan di Cyprus buat seketika sebelum kembali semula ke Malaysia pada tahun 2016 bersama PDRM.

Kelibat paling memberangsangkan buat De Paula hadir ketika beraksi bersama skuad Ibu Kota, Kuala Lumpur atau dikenali sebagai Kuala Lumpur City pada masa ini. Sepanjang beraksi bersama pasukan tersebut selama 3 musim, De Paula telah menjaringkan sejumlah 66 gol dan menduduki tangga kedua penjaring terbanyak pasukan sepanjang zaman.

Hanya satu gol sahaja yang memisahkan jaringannya dengan rekod penjaring terbanyak sepanjang sepanjang zaman milik penyerang kelahiran Singapura, Fandi Ahmad yang bermain bersama Kuala Lumpur sekitar 1986 hingga 1990.

Kehadiran De Paula menjadikan skuad Harimau Selatan kini memiliki tiga khidmat pemain naturalisasi. Dua pemain naturalisasi yang sedia ada ialah Mohamadou Sumareh dan Liridon Krasniqi yang kini dipinjamkan ke pasukan Newcastle Jets yang beraksi dalam saingan Liga Australia.

Pada masa yang sama, mereka turut memaklumkan akan berkongsi maklumat lanjut mengenai penghijrahan pemain ini menerusi Pengarah Teknikalnya, Alistair Edwards dalam masa terdekat.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

Komen