Antara Sanjar & Lee Tuck, Terengganu FC Sedang Membuat Pertimbangan 
May 10, 2021 Hafizuddin Omar

Pasukan yang menduduki tangga kedua Liga Super, Terengganu FC sedang membuat pertimbangan untuk mengikat kembali salah seorang bekas pemain tengahnya samada Sanjar Shaakhmedov atau Lee Tuck.

Jurulatih berusia 42 tahun tersebut mengakui mengetahui perancangan Sri Pahang yang mahu meminjamkan Lee Tuck kepada pasukan lain setelah mereka melakukan rombakan barisan pemain import, baru-baru ini. 

Namun Nafuzi seakan-akan memberikan satu bayangan besar mahu meletakkan keutamaan untuk mengikat pemain import kuota asia pada jendela perpindahan kedua yang telah membuka tirainya pada 3 mei lalu.

Perkara tersebut dikongsikan sendiri oleh ketua jurulatih, Nafuzi Zain bagi memperkukuhkan pasukannya untuk mengharungi saingan Piala AFC bermula pada penghujung jun kelak dan baki saingan Liga Malaysia yang akan bersambung pada julai nanti.

Lee Tuck

“Saya tahu Lee Tuck akan dipinjamkan (oleh Sri Pahang) tetapi saya sukar untuk memberikan keputusan buat masa ini,

“Sekarang ni kita tiada (pemain import) kuota asia, jadi untuk mengambil Lee Tuck ataupun Sanjar kita akan melihat kuota yang kita ada,

“Kalau kita ambil Lee Tuck mungkin pemain yang sedia ada ini akan diturunkan ke TFC II,

“Sukar (untuk buat keputusan pada ketika ini) sebabnya pemain-pemain yang sedia ada pun dia punya effort (baik) dan saya tiada sebab untuk complain,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan menentang Selangor di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), semalam.

Sanjar Shaakhmedov

Sementara itu, Nafuzi turut menjelaskan Sanjar dan Lee Tuck menjadi calon pemain terbaik untuk diikat pasukannya pada jendela perpindahan ini kerana mereka sudah mengetahui corak permainan yang diterapkannya.

Tambahnya lagi, jika Terengganu mengambil pemain baharu, ia akan mengambil masa yang sedikit lama untuk pemain tersebut menyesuaikan diri dengan corak permainannya dan membentuk keserasian dengan rakan-sepasukan yang lain. 

“Bagi saya, dengan masa yang ada, saya lebih suka memilih pemain yang pernah bersama saya dan yang saya (juga) telah tahu (corak permainan) dia, contohnya Sanjar dan Lee Tuck adalah calon-calon yang terbaik untuk pasukan,

“Sama seperti saya mengambil Dechi Marcel pada saat-saat akhir (sebelum jendela perpindahan pertama ditutup) disebabkan oleh Petrus Shitembi mengalami kecederaan ACL,

“Dia (Dechi) pernah bersama saya sebelum ini termasuk menyertai satu pertandingan (jemputan) di Bangladesh (pada tahun 2019),

Dechi Marcel

“Untuk mengambil pemain baharu, ia akan mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan Terengganu FC, lagipun Sanjar dan Lee Tuck sedang bermain dan berada dalam keadaan yang cergas,” jelas Nafuzi lagi.

Untuk rekod, Sanjar mula menyertai Terengganu pada tahun 2019 dan kemampuannya untuk melorongkan bola ‘berbisa’ kepada penyerang dan melakukan rembatan dari luar kotak penalti sangat disukai oleh para peminat. Bersama skuad berpangkalan di pantai timur ini, Sanjar telah menjaringkan 16 gol daripada 37 penampilan yang diraihnya.

Manakala, bekas kapten, Lee Tuck pula menyertai Terengganu lebih awal iaitu sejak dari tahun 2018 lagi. Pemain kelahiran Halifax, England ini sering mencuri tumpuan menerusi komitmennya di atas padang dan sentiasa bersemangat tinggi.

Pada penghujung tahun lalu, Sanjar, Lee Tuck serta 3 orang lagi pemain import pada musim 2020 tidak disambung kontraknya oleh Terengganu atas alasan mahu menerapkan perancangan yang baharu dan juga faktor kewangan.

Featured Image: Terengganu FC

Komen