Ketua jurulatih Selangor FC, Karsten Neitzel nyata tidak dapat menahan kecewaannya apabila anak-anak buahnya bolos sekali lagi menerusi situasi ‘set piece’ di penghujung perlawanan sekaligus mengakibatkan kekalahan 2-1 di tangan Terengganu, semalam.
Skrip bolos ketika menghadapi situasi ‘set piece’ ini berulang-ulang sejak mereka menentang Sri Pahang (seri 2-2), Sabah (seri 2-2) dan Melaka United (menang 3-2) termasuk ketika menentang Terengganu (kalah 1-2).
Justeru, kelemahan ini menjadi tumpuan utama untuk diperbaiki ketika rehat saingan Liga Super selama dua bulan (10 mei hingga 9 julai) sebelum turun menentang jiran setempat, Kuala Lumpur City pada 10 julai hadapan.

“Semestinya banyak perkara akan diperbaiki (semasa saingan liga berehat), kami akan menumpukan perhatian lebih untuk bertahan semasa ‘set pieces’,
“Ini menjadi punca utama (hilang mata) dalam perlawanan yang terdahulu, dan kita perlu menggunakan peluang-peluang yang dicipta (untuk tukarkan kepada gol),” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Sementara itu, selain daripada bolos ketika berhadapan dengan situasi ‘set piece’, benteng pertahanan Selangor sendiri merekodkan bolos sebanyak 20 gol daripada 13 perlawanan setakat ini.
Rekod bolos itu merupakan keempat yang terburuk dalam dalam kalangan 12 pasukan Liga Super selepas UiTM (30 gol), Sri Pahang (22 gol) dan Perak (21 gol).

Mengulas mengenai situasi tersebut, Karsten tidak menolak kemungkinan untuk mendatangkan pemain pertahanan baharu untuk memperkukuhkan benteng pertahanan.
Namun ianya bergantung kepada persetujuan pihak pengurusan dan pulihnya beberapa pemain yang cedera seperti Tim Heubach, Safuwan Baharudin dan lain-lain lagi.
“Sudah tentu kami mempunyai perancangan untuk memperbaikinya (barisan pertahanan), kami akan duduk bersama dan berbincang tentangnya (membawa masuk pemain baharu),
“Tetapi beberapa pemain yang cedera akan kembali bersama pasukan dalam beberapa hari lagi dan kami akan melihatnya nanti,”
“Sekarang bukan masa yang sesuai untuk membuat keputusan (mendapatkan pemain baharu), tetapi kami telah mempunyai beberapa cadangan,” tambahnya lagi.

Sedikit mengejutkan apabila beliau tidak mahu mengulas secara terbuka samada Selangor akan memanggil kembali atau tidak pemain yang dipinjamkan kepada Penang FC dan Kedah Darul Aman, Quenting Cheng dan Rodney Celvin.
Kedua-dua pemain pertahanan ini menunjukkan aksi yang melangkaui jangkaan bersama pasukan masing-masing dan sebahagian para penyokong Red Giants mahu melihat pemain ini kembali menyarung jersi Merah Kuning.
Featured Image: Selangor FC