Arena bola sepak tempatan kecoh apabila satu jaringan menerusi tandukan oleh pemain Penang FC, Casagrande ketika perlawanan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada sabtu lalu dibatalkan oleh pengadil perlawanan.
Insiden tersebut mendapat perhatian dan maklum balas daripada Jawatankuasa Penilaian Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan mereka telah bermesyuarat dan tampil mengemukakan penjelasannya.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Dato’ S. Sivasundaram, tindakan pengadil, Mohd Hasrol Mohd Amir membatalkan jaringan tersebut kerana pemain berjersi nombor 10, Sheriddin Boboev dikesan menolak penjaga gol JDT, Farizal Marlias sebelum daripada Casagrande menanduk masuk bola ke dalam gawang.
“Pengadil perlawanan telah bertindak untuk membatalkan jaringan Penang FC pada minit ke-78 kerana tindakan pemain Penang FC berjersi No.10, Sheriddin Boboev menolak penjaga gol JDT dengan badan beliau.
“Pengadil dapat mengesan tindakan pemain ini dari awal pergerakan dia di mana sebelum sepakan penjuru dilakukan, pemain ini telah menghampiri penjaga gol JDT dan semasa bola berada di udara,
“Pemain ini telah mengasak secara berterusan kepada penjaga gol tersebut dan menolak penjaga gol tersebut dengan badan beliau semasa penjaga gol melompat untuk mencabar bola di udara,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh FAM.
Sementara itu, pihaknya turut menjelaskan mengenai dua insiden melayangkan kad merah seterusnya mengarahkan meninggalkan padang dalam perlawanan yang sama. Pertamanya melibatkan pemain berjersi nombor 9, Casagrande dilayangkan kad kuning kedua.
“Pemain tersebut telah mendapat kad kuning yang pertama pada minit ke-78 kerana membantah keputusan pengadil membatalkan jaringan Penang FC.
“Selepas daripada insiden tersebut, pemain ini telah secara berterusan mengeluarkan kata-kata yang kurang sopan ditujukan kepada Penolong Pengadil 1, Penolong Pengadil 2.
“Walaupun telah cuba ditegur oleh pengadil agar pemain tersebut tidak mengulangi tindakan itu beliau sekali lagi mengeluarkan kata-kata kurang sopan kepada pengadil pada minit ke-88 dan telah dilayangkan kad kuning kedua,” jelasnya.
Bagi layangan kad merah kedua terhadap ketua jurulatih Penang FC, Tomas Trucha pada minit-minit akhir permainan dibuat oleh Mohd Hasrol kerana telah memasuki padang permainan atau ‘field of play’ (FOP) dan membantah keputusan pengadil.
“Tindakan ini selaras dengan undang-undang permainan 20/21 di bahagian tindakan disiplin pada undang-undang 5 dan bahagian perintah keluar Pegawai Pasukan pada undang-undang 12,” tegasnya.
Untuk rekod, perlawanan yang berlangsung di Stadium Bandaraya itu berkesudahan dengan JDT mencatatkan kemenangan 3-0 ke atas Penang sekaligus mengekalkan kedudukan sebagai pendahulu Liga Super selepas 13 perlawanan.
Featured Image: Penang FC