Kenny Pemain Utiliti Terbaik Malaysia, Silap-Silap Main GK Pun ‘Perform’ – Stanley
May 12, 2021 Hafizuddin Omar

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kuala Lumpur City (KL City), Stanley Bernard menggambarkan pemain tengah yang baru sahaja ditandatangani pasukannya, Kenny Pallraj sebagai pemain utiliti terbaik di Malaysia pada ketika ini.

Walaupun posisi kebiasaannya adalah pemain tengah bertahan (defensive midfielder) tetapi ketika bersama Perak dan skuad kebangsaan, Kenny pernah diturunkan di beberapa posisi lain termasuk sebagai pemain sayap.

Disebabkan itu, Stanley pantas mengambil peluang untuk mengikat pemain berusia 28 tahun ini apabila mengetahui statusnya telah bertukar menjadi pemain ejen bebas setelah dilepaskan skuad The Bos Gaurus, baru-baru ini. 

Grafik: Kuala Lumpur City

“Kenny ini kita tahu dia tidak akan meninggalkan Perak tetapi saya pantas mengambil peluang untuk menandatanganinya apabila (dia) menjadi free agent,”

“Kenny boleh dikatakan sebagai pemain utiliti terbaik di Malaysia, semua posisi yang dimainkannya boleh ‘perform’, silap-silap diturunkan sebagai penjaga gol pun dia boleh bermain,” ulasnya mengenai Kenny ketika dihubungi oleh Sukanz, hari ini.

Bukan seorang sahaja pemain Perak yang diikat oleh Stanley pada jendela perpindahan kali ini. Untuk menambahkan lagi bisa di bahagian sayap, skuad ibu kota yang dibimbing oleh Bojan Hodak ini turut menandatangani pemain sayap, J. Partiban.

Selain daripada memiliki kepantasan, Partiban yang bakal menjengah usia 28 tahun pada november kelak cukup dikenali dengan kemampuan untuk bermain di kedua-dua bahagian sayap serta mempunyai naluri untuk menjaringkan gol.

Grafik: Kuala Lumpur City

“Partiban dah lama (diintai), daripada awal musim (lagi) kerana kita mahukan seorang pemain sayap yang berkualiti, (kemampuannya) amat ditagih oleh KL City,” tambah Stanley lagi.

Stanley turut memaklumkan, usaha untuk mendapatkan kedua-dua pemain ini bukanlah mudah seperti yang disangka. Bekas pengulas ini berkongsikan sebanyak enam pasukan berebut untuk mendapatkan khidmat Kenny dan Partiban.

Bagaimanapun, visi dan pelan jangka masa panjang yang ingin diusahakan oleh Stanley di KL City menjadi ‘tawaran besar’ yang menarik minat kedua-dua pemain ini untuk menurunkan tandatangan masing-masing di atas kontrak bersama KL City. 

“Kami tidak mempunyai kewangan yang besar tetapi kita mendapatkan mereka untuk pelan jangka masa panjang, bukan sekadar (menggunakan khidmatnya) untuk tahun ini atau tahun depan,”

“Saya berpendapat Partiban dan Kenny ini bukan jenis nak tukar kelab (dengan kerap), kalau boleh haritu dia tak mahu keluar daripada Perak,”

“Mereka mahukan sesuatu yang boleh mereka panggil rumah (home), mungkin itu yang mereka rasakan apabila saya membentangkan visi (dan) pelan jangka masa panjang KL City,” katanya.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

Komen