Pemain Sri Pahang, Lee Tuck bersedia untuk menyarung jersi pasukan lamanya sekiranya khidmatnya kembali ditagih oleh ketua jurulatih Terengganu, Nafuzi Zain.
Baru-baru ini, Nafuzi mengatakan dua bekas pemainnya, Lee Tuck dan Sanjar Shaakhmedov merupakan calon pemain import yang sesuai untuk dibawa masuk pada jendela perpindahan pertengahan musim ini bagi memperkukuhkan pasukan.
Tambahan pula, pihak pengurusan Sri Pahang sememangnya merancang untuk meminjamkannya ke pasukan lain memandangkan mereka telah mendatangkan empat pemain import baharu.
Percaturan baharu Sri Pahang menyaksikan nama Lee Tuck digugurkan oleh Dollah Salleh sehingga ke penghujung musim ini.
“Sudah tentu saya berminat dan bersedia menyarung jersi skuad Terengganu, lebih-lebih lagi selepas tiga musim bersama skuad itu sehingga mara ke pentas final Piala Malaysia pada 2018 dan membantu pasukan layak ke pentas Piala AFC musim ini.
“Lebih menggembirakan mendengar komen daripada Nafuzi yang menyatakan saya antara calon untuk memperkuatkan pasukan selain bekas rakan sepasukan, Sanjar Shaakhmedov, ini berita baik,
“Lagipun saya gembira di sana, seperti yang saya katakan kami saling mengetahui corak permainan masing-masing, ianya begitu serasi.
“Lagipun sejujurnya ketika ini saya sedang mencari kelab untuk pinjaman sementara dan kembali ke Terengganu adalah satu peluang baik dan fantastik serta mengujakan, ketika ini saya sangat bermotivasi untuk kembali ke padang,” katanya seperti dilaporkan oleh Harian Metro.
Bagaimanapun, Lee Tuck hanya menyatakan kesediaan dan minatnya untuk menyarung jersi skuad Hitam Putih. Walaupun tidak menolak penghijrahan kembali ke Terengganu sebagai pemain pinjaman, pemain kelahiran Halifax, England yang bakal menjengah usia 33 tahun pada jun ini belum bersedia untuk mengesahkan atau mendedahkan pasukan yang akan ditujunya.
Pada masa yang sama, Lee Tuck turut menjelaskan prestasinya yang tidak menentu bersama Sri Pahang adalah disebabkan belum dapat menyesuaikan diri untuk bermain di posisi luar kebiasaannya iaitu sebagai penyerang.
Featured Image: Terengganu FC