Kehadiran empat pemain import baharu diyakini mampu membantu Sri Pahang menjauhi zon penyingkiran sekaligus menyelamatkan mereka daripada tergelincir ke saingan Liga Premier pada tahun hadapan.
Keyakinan itu diluahkan oleh pemain sayap Sri Pahang, Muhd Baqiuddin Shamsudin selepas melihat aksi yang ditampilkan oleh Kenny Athiu, Abubakar Yakubu dan Aung Kaung Mann.
Paling dikagumi oleh pemain berusia 27 tahun ini adalah pemain tengah menyerang kelahiran Argentina, Manuel Hidalgo yang tidak mengambil masa untuk memberikan impak kepada pasukan.
“Saya optimis Sri Pahang akan lakar kebangkitan bagi menjauhi zon penyingkiran melalui kualiti import baharu seperti Manuel Hidalgo yang saya rasakan antara pemain terbaik pernah saya jumpa,“ katanya.
Baqiuddin yang berasal dari Kuala Lipis menjadi taruhan utama Sri Pahang di sayap kiri musim ini sama sekali tidak menyangka masih ada ruang buatnya bermain di peringkat tertinggi Liga Malaysia iaitu Liga Super selepas menghabiskan kariernya di Liga Premier selama lima musim.
“Siapa yang tidak hendak main untuk negeri sendiri, telah lama saya menunggu peluang ini selepas bermain dalam skuad Piala Presiden Pahang sejak tahun 2015, barulah impian saya menjadi kenyataan, “ demikian luahannya.
Pemain bertubuh ‘kecil molek’ yang hanya berketinggian 165 sentimer ini tidak menunggu lama untuk memikat ketua jurulatih, Thomas Dooley (awal musim) mahupun Dollah Salleh.
Setakat 13 perlawanan yang telah berlalu, Baqiuddin menjadi watak penting dengan melakukan 12 penampilan dalam kesebelasan utama dan hanya dimasukkan sekali sahaja selaku pemain gantian. Dia turut merekodkan satu gol ketika menentang UiTM pada ke-11 Liga Super, baru-baru ini.
“Sebaik berakhir musim lalu dengan UKM FC, saya sendiri tidak menjangka mendapat tawaran dari Sri Pahang dan pihak pengurusan pada waktu itu di bawah Datuk Mohammed Suffian Awang (Ketua Pegawai Eksekutif Sri Pahang) ada hubungi saya.
“Sangat terkejut pada mulanya namun bersyukur kerana akhirnya dapat juga bermain di Liga Super malah menambah lagi kegembiraan, menyarung jersi negeri kelahiran.
“Saya tidak mahu membazirkan peluang yang diberikan dan buat masa ini, saya cukup teruja kerana sering kali mendapat peluang untuk diturunkan dan gol pertama saya ketika bertemu UiTM menjadi pembakar motivasi untuk gigih tingkatkan prestasi, ” katanya lagi.
Satu lagi perkara menarik mengenai Baqiuddin ialah dia sebenarnya merupakan sepupu kepada pemain tengah kebangsaan dan Sri Pahang, Nor Azam Azih.
Malah, hubungan mereka berdua sebenarnya amat rapat dari kanak-kanak apabila sering kali bermain bola bersama dan dia tidak menjangka akhirnya mereka kembali dipertemukan di dalam Sri Pahang.
“Azam sebenarnya sepupu saya, iaitu di sebelah ayah dan dia pun sebenarnya berasal dari Kuala Lipis sebelum keluarganya berpindah ke Jengka.
“Kami punyai agak akrab dari kecil dan memang mengenali satu sama lain, jadi apabila dia dapat tahu saya bersama Sri Pahang musim ini, dia menjadi antara orang paling gembira.” ujarnya.
Untuk rekod, dua musim lalu, Baqiuddin bermain dengan UKM FC selain pernah menyarung jersi PDRM pada 2018 selain Kuantan FA (2017) dan Shahzan Muda (2016).
Featured Image: Sri Pahang