Artikel

Melaka United Pinjam Pemain Yang Pernah Berlatih Di Borussia Dortmund

Pemain tengah yang pernah berlatih bersama pasukan gergasi liga jerman, Borussia Dortmund menjadi salah satu sandaran Melaka United untuk bangkit keluar daripada zon penyingkiran pada musim ini.

Pemain tersebut berusia 28 tahun dan kini beraksi bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) II, Gary Steven Robbat. Dia bakal menyarung jersi skuad Hang Tuah sekaligus mengharungi baki saingan Liga Malaysia 2021 bersama Melaka United.

Selain daripada Gary, pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Melaka United, Datuk Seri Justin Lim turut memaklumkan telah mengikat khidmat dua penyerang import baharu bagi menggantikan Alex Goncalves dan Stefan Nikolic yang tidak memberikan impak seperti diharapkan.

Difahamkan kedua-dua penyerang kelahiran Brazil tersebut telah di tiba di tanah air dan sedang menjalani kuarantin wajib.

Alex Goncalves
Stefan Nikolic

“(Giovane) Gomez dan Adriano kini sedang menjalani kuarantin wajib sebelum menyertai pasukan. Apa yang pasti, kedua-dua mereka dipilih kerana kita melihat kualiti yang ada pada mereka cukup bagus untuk membantu pasukan.”

“Kita berharap, dengan kehadiran dua pemain import ini bersama seorang lagi pemain pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT), Gary Steven Robbat akan dapat membantu pasukan memperoleh keputusan yang lebih baik di pusingan kedua nanti,” katanya seperti dipetik daripada laman sesawang Melaka Hari Ini.

Kedudukan semasa pada pertengahan musim ini antara yang terburuk buat pasukan Melaka United sejak kembali ke kancah Liga Super pada tahun 2017. Ketika ini, mereka menduduki tangga ke-11 liga dengan hanya mengumpul 11 mata daripada 13 perlawanan.

Selain daripada membawa masuk tiga pemain baharu, Melaka United turut memutuskan ketua jurulatih sedia ada, Zainal Abidin Hassan dikekalkan sehingga ke penghujung musim dengan harapan dapat mengekalkan skuad Hang Tuah dalam saingan Liga Super 2022. 

Featured Image: Borussia Dortmund

komen