Skuad Malaysia Yang Mengikat Bahrain 1-1 Pada Tahun 2013, Dimanakah Mereka Ketika Ini?
May 28, 2021 Hafizuddin Omar

Tanggal 15 oktober 2013 skuad kebangsaan Malaysia turun ke Stadium Shah Alam untuk melayan kunjungan Bahrain dalam aksi kelayakan Piala Asia 2015. Ketika itu, Malaysia yang berada di kedudukan ke-161 dunia berhasil mengikat pasukan pelawat yang berada di kedudukan lebih baik iaitu ranking ke-121 dengan keputusan 1-1.

Penyokong Malaysia perlu berterima kasih kepada jaringan penyamaan oleh penyerang lincah, Norshahrul Idlan Talaha yang dihasilkan pada babak kedua. Norshahrul atau Matyo mengambil peluang yang terhidang dengan melakukan rembatan dari luar kotak penalti selepas kesilapan pertahanan lawan yang gagal mengeluarkan bola daripada kawasannya. 

Sebelum daripada itu, Bahrain yang dibimbing oleh jurulatih kelahiran England, Anthony Hudson mendahului 1-0 menerusi pertahanannya, Abdulla Saleh Aman berpunca daripada situasi sepakan penjuru pada masa kecederaan babak pertama.

Itu merupakan keputusan positif kedua yang diraih oleh Malaysia selepas menumpaskan Yaman 2-1 pada aksi kedua peringkat Kumpulan D. Lapan tahun telah berlalu, menarik untuk kita jejaki dimanakah kesemua barisan pemain pada perlawanan tersebut berada pada ketika ini.

Ayuh kita lihat senarai di bawah:

K. Rajagobal

Umur: 64 Tahun

Tarikh Lahir: 10 Julai 1956

Jawatan Pada Waktu Itu: Ketua Jurulatih Malaysia

Jawatan/Status Semasa: Ketua Jurulatih Brunei

K. Rajagobal atau King Gobal merupakan satu-satunya jurulatih yang berjaya membimbing Malaysia meraih kejuaraan Piala AFF setakat ini. Bagaimanapun, jodohnya bersama skuad Harimau Malaya hanya bertahan sehingga ke penghujung tahun 2013. Beliau kemudiannya beralih melatih pasukan dalam saingan Liga Malaysia seperti Sarawak dan PKNS FC. Terkini, King Gobal merupakan ketua jurulatih skuad kebangsaan Brunei.

Khairul Fahmi Che Mat

Posisi: Penjaga gol

Umur: 32 Tahun

Tarikh Lahir: 7 Januari 1989

Pasukan Pada Waktu Itu: Kelantan

Pasukan/Status Semasa: Melaka United

Semasa tahun 2013, Khairul Fahmi Che Mat atau Apek masih bersama Kelantan. Bagaimanapun, anak jati kelahiran negeri Kelantan ini mengambil keputusan untuk berhijrah ke Melaka United pada tahun 2018 dan kekal bersama pasukan itu sehingga ke hari ini. Masih lagi aktif bermain secara profesional. Posisinya sebagai penjaga gol skuad kebangsaan juga terlepas kepada Farizal Marlias dan Khairulazhan.

Asraruddin Putra Omar

Posisi: Pertahanan

Umur: 33 Tahun

Tarikh Lahir: 26 Mac 1988

Pasukan Pada Waktu Itu: Selangor

Pasukan/Status Semasa: Tiada Pasukan

Kali terakhir bekas bek kiri skuad kebangsaan ini dilihat bermain secara aktif adalah pada tahun 2017 bersama pasukan Pulau Pinang. Kemudiannya, dia dikhabarkan berehat daripada saingan Liga Malaysia ekoran masalah kecederaan. Namun, sekitar permulaan tahun 2020, Asraruddin dimaklumkan menyertai latihan bersama Selangor. Ramai menyangka pemain kelahiran Kuala Selangor ini kembali untuk beraksi di atas padang namun hakikatnya dia sekadar menyertai latihan untuk mendapatkan kecergasan.

Aidil Zafuan Abdul Radzak

Posisi: Pertahanan

Umur: 33 Tahun

Tarikh Lahir: 3 Ogos 1987

Pasukan Pada Waktu Itu: Johor Darul Ta’zim

Pasukan/Status Semasa: Johor Darul Ta’zim

Masih menjadi tonggak utama buat skuad kebangsaan dan di peringkat kelab. Tiada sebarang perubahan besar buat pemain kelahiran Negeri Sembilan ini. Untuk makluman, tahun 2013 juga merupakan tahun pertama buat Aidil bersama JDT dan dia kekal bersama skuad Harimau Selatan sehingga ke hari ini.

Amiridzwan Taj

Posisi: Pertahanan

Umur: 35 Tahun

Tarikh Lahir: 30 Mac 1986

Pasukan Pada Waktu Itu: ATM

Pasukan/Status Semasa: Penolong Jurulatih di AMD

Terkenal dengan permulaan kariernya bersama UiTM FC dan skuad Malaysia yang mengambil bahagian dalam temasya Summer Universiade. Pada tahun 2013, Amiridzwan merupakan pemain pasukan ATM. Selepas daripada itu, dia sempat berkelana bersama pasukan negeri kelahirannya, Kelantan.

Pasukan terakhir yang diwakili olehnya ialah Kelantan United dan dia antara pemain yang membantu pasukan tersebut menjuarai saingan Liga M3 pada tahun 2019. Awal januari tahun ini, dimaklumkan dia meninggalkan karier bola sepak profesional dan menceburkan diri dalam dunia kejurulatihan. Ketika ini, beliau merupakan penolong jurulatih di Akademi Mokhtar Dahari (AMD).

S. Kunanlan

Posisi: Pertahanan

Umur: 34 Tahun

Tarikh Lahir: 15 September 1986

Pasukan Pada Waktu Itu: Selangor

Pasukan/Status Semasa: Johor Darul Ta’zim

Walaupun nama Kunanlan sudah tidak menjadi pilihan utama untuk dipanggil menyertai skuad kebangsaan pada ketika ini, dia masih aktif bermain dan menjadi saingan kepada Matt Davies bagi posisi bek kanan di Johor Darul Ta’zim. Usia 34 tahun bukan penghalang buatnya untuk terus diberikan kepercayaan di bermain bersama skuad Harimau Selatan baik di saingan domestik mahupun antarabangsa seperti Liga Juara-Juara AFC.

K. Reuben

Posisi: Pemain Tengah

Umur: 31 Tahun

Tarikh Lahir: 2 April 1990

Pasukan Pada Waktu Itu: ATM

Pasukan/Status Semasa: Sarawak United

Walaupun namanya sudah tidak didengari dalam kalangan peminat bola sepak pada ketika ini, pemain tengah, K. Reuben masih lagi bergelar pemain profesional. Tahun ini dia bersama pasukan yang bercita-cita besar untuk ke saingan Liga Super iaitu Sarawak United.

Safiq Rahim

Posisi: Pemain Tengah 

Umur: 33 Tahun

Tarikh Lahir: 5 Julai 1987

Pasukan Pada Waktu Itu: Johor Darul Ta’zim

Pasukan/Status Semasa: Johor Darul Ta’zim

Merupakan antara pemain tengah terhebat yang ada dalam sejarah bola sepak Malaysia. Memenangi pingat emas Sukan SEA 2009, juara Piala AFF 2010. DI peringkat kelab, semua kejuaraan domestik telah dimenanginya dan paling terulung adalah juara Piala AFC pada tahun 2015. Ketika ini, dia masih bergelar pemain profesional bersama JDT.

K. Gurusamy

Posisi: Pemain Tengah

Umur: 32 Tahun

Tarikh Lahir: 11 Januari 1989

Pasukan Pada Waktu Itu: Selangor

Pasukan/Status Semasa: Petaling Jaya City

Nama K. Gurusamy juga tidak begitu didengari oleh peminat bola sepak pada ketika ini. Namun dia masih belum menggantungkan butnya dan kini bermain bersama pasukan yang mempertaruhkan 100% pemain lokal iaitu Petaling Jaya City (PJ City).

Azammuddin Akil

Posisi: Penyerang  

Umur: 36 Tahun

Tarikh Lahir: 16 April 1985

Pasukan Pada Waktu Itu: Pahang

Pasukan/Status Semasa: Kedah Darul Aman

Dikenali dengan nama ‘glamour’ Alex, pemain kelahiran Kuala Lipis ini mula mencuri tumpuan peminat bola sepak tempatan ketikan beraksi bersama Pahang. Tahun 2016, Alex membuat keputusan untuk berhijrah ke JDT sebelum ke Selangor pada tahun 2018. Selepas itu, dia ditimpa dengan kecederaan yang agak parah hingga memaksanya berehat seketika daripada saingan Liga Malaysia. Pada ketika ini, Alex menjadi ‘senjata’ berbahaya buat Kedah terutamanya apabila dimasukkan pada separuh masa kedua.

Norshahrul Idlan Talaha

Posisi: Penyerang

Umur: 34 Tahun

Tarikh Lahir: 8 Jun 1986

Pasukan Pada Waktu Itu: Johor Darul Ta’zim

Pasukan/Status Semasa: Sarawak United

Penjaring gol ketika menentang Bahrain pada tahun 2013 yang lalu. Masih diberikan kepercayaan oleh Tan Cheng Hoe untuk bermain bersama skuad kebangsaan pada kelayakan Piala Dunia/Piala Asia saat ini. Dengan makluman penyerang naturalisasi, Guilherme de Paula masih tidak dapat bermain pada malam nanti, Matyo mungkin diberikan tanggungjawab untuk mengetuai barisan serangan Harimau Malaya.

Amri Yahyah

Posisi: Penyerang

Umur: 40 Tahun

Tarikh Lahir: 21 Januari 1981

Pasukan Pada Waktu Itu: Selangor

Pasukan/Status Semasa: Sabah

Berusia 40 tahun dan masih menendang bola serta menjaringkan gol bersama pasukannya. Amri antara nama yang tidak asing buat skuad kebangsaan sejak daripada tahun 2007 lagi. Ketika senarai 25 pemain skuad kebangsaan diumumkan oleh FAM baru-baru ini, segelintir penyokong dan peminat turut mempersoalkan mengenai ketiadaan nama Amri sedang dia sedang berada di prestasi terbaik bersama Sabah.

Pemain Gantian 1: Nazrin Nawi

Posisi: Penyerang

Umur: 33 Tahun

Tarikh Lahir: 7 Februari 1988

Pasukan Pada Waktu Itu: Negeri Sembilan

Pasukan/Status Semasa: Tiada Pasukan (Kelantan, 2020)

Pemain Gantian 2: Fakri Saarani

Posisi: Penyerang

Umur: 31 Tahun

Tarikh Lahir: 8 Julai 1989

Pasukan Pada Waktu Itu: Kelantan

Pasukan/Status Semasa: Tiada Pasukan (Northern Lions, 2020)

Pemain Gantian 3: Fitri Omar

Posisi: Pertahanan

Umur: 35 Tahun

Tarikh Lahir: 25 Jun 1985

Pasukan Pada Waktu Itu: ATM

Pasukan/Status Semasa: Kelantan United

Berikut adalah highlight perlawanan antara Malaysia dan Bahrain yang berlangsung di Stadium Shah Alam pada tahun 2013 yang lalu. Nikmatilah:

Featured Image: Football Association of Malaysia

Komen