Menu nasi lemak kosong bersama ayam masak merah yang dimakan oleh pemain tengah, N’golo Kante nyata tidak menghalangnya membantu Chelsea menjulang trofi Liga Juara-Juara UEFA (UCL).
Pada khamis lalu, Kante mencuri tumpuan ramai peminat bola sepak tempatan apabila dia dimaklumkan mengunjungi sebuah restoran makanan Malaysia di London, Tuk Din Flavours of Malaysia bagi menikmati menu tersebut sebelum terbang ke Portugal.
Pada pertemuan akhir menentang Manchester City pada awal pagi tadi, pemain tengah Perancis berusia 30 tahun tersebut diturunkan oleh pengurus, Thomas Tuchel di posisi tengah dan diberikan peranan selalu ‘box-to-box midfielder’.
Kante cemerlang menjadi nadi di bahagian tengah Chelsea dengan statistik menunjukkan dia merekodkan 85.3% ketepatan ketika melakukan hantaran. Sebagai tambahan, Kante turut efektif dalam membantu pasukannya ketika bertahan.
Chelsea muncul juara apabila berjaya mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas skuad bimbingan Pep Guardiola menerusi jaringan oleh Kai Havertz setelah menyambut baik hantaran oleh Mason Mount pada minit ke-42.
Manchester City cuba meningkatkan asakan untuk mencari jaringan penyamaan. Namun persembahan penuh berdisiplin ketika bertahan sehingga ke penghujung permainan oleh skuad The Blues membuatkan mereka hanya mampu berputih mata.
Sejurus sahaja tamat perlawanan, Kante turut dipilih sebagai ‘UCL Player of The Match’ (UCLPOTM) atas aksi yang sangat memberangsangkan ditampilkannya di atas padang.
Kejuaraan ini membolehkan Kante menambahkan lagi koleksi piala yang dimilikinya sepanjang bergelar pemain profesional. Secara keseluruhan, Kante telah memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris (2 kali), Piala FA (1 kali), Liga Europa (1 kali), Piala Dunia (1 kali) dan terbaharu Liga Juara-Juara UEFA (1 kali).
Hanya trofi kejuaraan eropah, Euro Cup sahaja belum dimenanginya bersama skuad kebangsaan Perancis, setakat ini.
Featured Imag: UEFA Champions League