Harap Permainan Lebih Baik Selepas Naik Taraf Padang Stadium MBPJ
June 1, 2021 Hafizuddin Omar

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon berharap padang di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang sedang dibaik pulih dapat meningkatkan tahap kualiti pemain sebaik sahaja Liga Malaysia kembali bersambung.

Ini berikutan padang di stadium berkenaan yang terjejas teruk terutamanya ketika hujan lebat sekali gus mendapat kritikan berhubung kualiti gelanggang rasmi pasukan itu sepanjang perlawanan berlangsung.

Menurut Johan, kerjasama dengan pihak MBPJ berjalan lancar ketika ini untuk mereka menaik taraf padang itu termasuklah memperbaiki saluran air yang sering menjadi punca kepada keadaan padang yang becak.

Selepas separuh musim bergelut dengan keadaan padang yang kurang memuaskan, Johan positif pasukan tidak lagi akan berdepan dengan situasi sama sekaligus dapat mempersembahkan kualiti perlawanan yang lebih memuaskan berbanding sebelum ini.

“Kami mengambil peluang masa rehat yang ada ini untuk Selangor FC dengan kerjasama bersama MBPJ menaik taraf padang itu dengan pemasangan sistem saliran bawah tanah untuk memperbaiki saluran air supaya kalau hujan, tanah di padang tidak akan menjadi begitu lembut dan permukaan padang juga tidak akan rosak.

“Kita harapkan sekurang-kurangnya pemasangan sistem saliran itu akan siap sebelum liga bersambung tetapi yang lain-lain mungkin akan mengambil sedikit masa lagi dalam tempoh beberapa bulan untuk betul-betul sempurna sepenuhnya.

“Saya percaya selepas ini padang akan lebih berkualiti bagi memberi manfaat kepada semua pasukan selain dapat juga meningkatkan kualiti liga selepas ini”, jelasnya.

Untuk makluman, saingan Liga Super akan bersambung bermula 9 julai hadapan sekiranya tiada sebarang penundaan daripada Malaysian Football League (MFL).

Komen