Pengambilan pemain berdarah kacukan, warisan dan naturalisasi oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi mewakili skuad kebangsaan Harimau Malaya sekali lagi menimbulkan polemik dalam kalangan peminat dan penyokong.
Polemik tersebut timbul apabila FAM mengumumkan penyertaan pemain kacukan Belgium-Malaysia, Dion Johan Cools ke dalam skuad kebangsaan bagi mengharungi baki kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, semalam.
Tinjauan di laman sosial mendapati ramai yang menyokong usaha yang dilakukan oleh FAM tersebut kerana pemain seperti Dion Cools yang beraksi di pentas eropah dapat memberikan nilai tambah kepada skuad kendalian Tan Cheng Hoe.
Namun terdapat sebahagian penyokong yang tidak gemar dengan pendekatan sebegini kerana menyebabkan imej atau wajah pasukan menjadi seperti pasukan ‘Mat Salleh’. Antara sebab lain, kemasukan pemain berdarah kacukan, warisan atau naturalisasi akan menyebabkan pemain tempatan kehilangan tempat di dalam skuad kebangsaan.
Untuk pengetahuan semua, FAM telah meluluskan satu mekanisme pengambilan pemain berdarah kacukan, warisan dan naturalisasi untuk mewakili skuad kebangsaan pada tahun 2019.
Mekanisme pengambilan pemain-pemain ini dibahagikan kepada tiga iaitu perancangan jangka masa pendek, sederhana dan panjang. Ianya bertujuan memberikan lebih pilihan kepada ketua jurulatih untuk membentuk kesebelasan terbaik skuad Harimau Malaya bagi beraksi di peringkat antarabangsa.
Berikut adalah mekanisme yang diluluskan dan digunapakai FAM untuk mengambil pemain kacukan, warisan dan naturalisasi:
#1 Jangka Masa Pendek
- Ia membabitkan pemain berdarah campuran samada mereka sendiri dilahirkan di Malaysia, ibu atau bapanya dilahirkan di Malaysia; atau datuk atau neneknya dilahirkan di Malaysia.
- Sebagai contoh, pemain-pemain berdarah campuran yang telah pun menyarung jersi Harimau Malaya antaranya Matthew Davies, Brendan Gan, Corbin-Ong, Kiko Insa, Natxo Insa dan Nicholas Swirad.
- Pemain asing yang telah bermain dalam liga bola sepak tempatan dan menetap secara minimum di Malaysia 5 tahun berturut-turut.
- Contoh, pemain asing pertama yang sudah pun menyarung jersi Harimau Malaya sejak tahun 2018 ialah Mohamadou Sumareh yang berasal dari Gambia. Kini, pemain tengah JDT, Liridon Krasniqi dan bekas penyerang Perak, Guilherme de Paula mengisi senarai ini.
#2 Jangka Masa Sederhana
- Ia membabitkan pemain asing berusia 18 tahun ke atas dan telah bermain dalam Liga Malaysia untuk 1 atau 2 tahun, serta meyakinkan pemain untuk menetap dengan minimum 5 tahun.
- Antara calon yang boleh menepati perancangan ini seperti pemain tengah Kuala Lumpur City, Romel Morales dan pemain tengah Penang FC, Endrick dos Santos.
#3 Proses Jangka Panjang
- Ia membabitkan pemain asing yang masih di peringkat remaja (bawah 18 tahun).
- Berapa jumlah pemain, lingkungan usia pemain, negara asal pemain dan lain-lain perkara berkaitan akan dicadangkan oleh panel teknikal.
- Panel teknikal terdiri daripada Pengarah Teknikal FAM, barisan jurulatih-jurulatih kebangsaan dan individu-individu lain yang berkaitan ini akan memberi cadangan dan nasihat kepada FAM dari sudut teknikal.
- Sebagai contoh, FAM telah memanggil Wan Kuzri Wan Kamal (kelahiran Amerika Syarikat) menyertai kem latihan skuad kebangsaan B-19 kendalian Brad Maloney pada tahun 2020.
Diharapkan pengambilan pemain-pemain berdarah kacukan, warisan dan naturalisasi untuk beraksi bersama pemain-pemain tempatan di dalam skuad kebangsaan ini dapat membantu FAM mencapai sasarannya.
Sasaran FAM yang terdekat adalah skuad Harimau Malaya layak ke saingan Piala Asia 2023. Manakala, berdasarkan Peta Hala Tuju F:30, FAM mensasarkan Malaysia menjadi salah sebuah daripada lima pasukan terbaik di asia menjelang tahun 2030.
Featured Image: Football Association of Malaysia