Gol Isaac Angking Bantu Puerto Rico Benam Bahamas 7-0 Dalam Kelayakan Piala Dunia
June 3, 2021 Hafizuddin Omar

Pemain berdarah kacukan Puerto Rico-Malaysia, Isaac Angking berhasil menyumbang satu gol ketika Puerto Rico mencatatkan kemenangan besar 7-0 ke atas Bahamas dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022, hari ini.

Lebih manis, jaringan tersebut merupakan gol pertamanya sejak melakukan debut bersama skuad kebangsaan Puerto Rico dalam aksi perlawanan persahabatan, januari lalu.

Jaringan pemain berusia 21 tahun ini hadir pada minit ke-31. Gol tersebut tercipta apabila Isaac dengan mudahnya merembat masuk bola hantaran lintang rendah oleh pemain sayap, Ricardo Rivera sekaligus memberikan pasukannya mendahului 3-0 pada waktu itu.

Kemenangan 7-0 ke atas Bahamas ini membolehkan pasukannya menduduki tangga ke-2 Kumpulan F selepas 3 perlawanan bagi saingan kelayakan Piala Dunia 2022 peringkat Konfederasi Bola Sepak Amerika Utara, Tengah dan Caribbean (CONCACAF).

Sebagai rekod, ini merupakan penampilan kelima buat Isaac bersama skuad kebangsaan Puerto Rico. Sebelum ini dia telah bermain ketika menentang Trinidad dan Tobago, Saint Kitts dan Nevis (kelayakan Piala Dunia), Guatemala dan Republik Dominika (perlawanan persahabatan).

Sebelum ini, Isaac merupakan sebahagian daripada skuad kebangsaan bawah umur iaitu Amerika Syarikat B-20 sebelum membuat keputusan untuk mewakili Puerto Rico.

Untuk makluman, skuad kebangsaan Puerto Rico berada di ranking ke-178 dunia. Kedudukan tersebut jauh lebih rendah berbanding skuad kebangsaan Malaysia bimbingan Tan Cheng Hoe yang kini berada di tangga ke-153 dunia.

Featured Image: Puerto Rico

Komen