Satu kejutan diberikan oleh skuad kebangsaan Indonesia apabila mereka tampil mengikat Thailand dengan keputusan 2-2 dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, awal pagi tadi.
Pemain muda Johor Darul Ta’zim (JDT), Syahrian Abimanyu mencuri tumpuan dalam perlawanan tersebut apabila dia terlibat sebagai arkitek kepada jaringan penyamaan skuad Garuda pada minit ke-39.
Pada ketika itu, pemain yang terkenal dengan panggilan Abi ini membuat satu hantaran jauh ala-ala Andrea Pirlo yang membelah barisan pertahanan skuad Gajah Perang sebelum disudahkan dengan cemerlang Kadek Agung di dalam kotak penalti.
Baca: Syahrian Abimanyu Pemain No.6 Dengan Kebolehan Hantaran Jauh Persis Pirlo
Jaringan tersebut menjadikan keputusan semasa 1-1 pada masa tersebut. Rata-rata pemain Thailand yang dibimbing oleh Akira Nishino hanya mampu mengeluh kecewa melihat mereka bolos kepada gerakan sebegitu.
Bersambung babak kedua, Thailand sekali lagi berhasil mendahului di hadapan menerusi satu tandukan oleh penyerangnya, Adisak Kraisorn pada minit ke-50.
Bagaimanapun, pendahuluan tersebut hanya bertahan selama 10 minit sahaja sebelum bekas pemain Selangor, Evan Dimas sekali lagi menyamakan kedudukan buat Indonesia.
Kedudukan 2-2 kekal sehingga ke wisel penamat ditiup oleh pengadil perlawanan. Keputusan seri ini turut memberikan mata pertama buat Indonesia dalam aksi kelayakan kali ini.
Anda boleh menonton umpanan cantik oleh Syahrian Abimanyu dan highlight perlawanan Thailand menentang Indonesia pada pautan video di bawah:
Featured Image: Changsuek