Tiada Quang Hai Tetapi 5 Pemain Vietnam Ini Perlu Diawasi Oleh Harimau Malaya
June 8, 2021 Hafizuddin Omar

Ketiadaan perancang dan peledak utama skuad kebangsaan Vietnam, Nguyen Quang Hai bukanlah bermakna skuad Harimau Malaya akan berhadapan tugas yang mudah menentang skuad bimbingan Park Hang-seo pada awal pagi sabtu nanti.

Pemain berusia 24 tahun tersebut tidak dapat diturunkan pada perlawanan seterusnya kerana terpaksa menjalani hukuman penggantungan akibat mengumpul dua kad kuning dalam saingan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 peringkat Kumpulan G.

Selain Quang Hai, Vietnam turut dibarisi dengan pemain-pemain lain yang berbahaya dan boleh memberikan ancaman kepada Malaysia. Ini telah ditunjukkan oleh pemain-pemain ini ketika membantai skuad Indonesia dengan jaringan 4-0 di Stadium Al Maktoum, hari ini.

Siapakah mereka? Berikut adalah lima pemain skuad Naga Emas yang perlu diawasi oleh Harimau Malaya pada perlawanan yang akan berlangsung pada awal pagi sabtu nanti.

#5 Nguyen Phong Hong Duy (No.7)

Posisi: Wing-Back Kiri

Umur: 25 Tahun

Tinggi: 1.68 Meter

Kelab: Hoang Anh Gia Lai

Penampilan Liga Musim Ini: 11 penampilan (1 assist)

Apa yang dilakukan ketika menentang Indonesia: Phong Hong merupakan wing-back kiri dalam sistem 3-4-3 dan 3-5-2 yang diterapkan oleh Park Hang-seo ketika menentang Indonesia. Pada awal babak permainan, Phong Hong ditugaskan untuk ‘overlapping’ dan ‘cut back’ kepada rakan sepasukan di dalam kotak.

Babak kedua, dia diberikan tugas yang berbeza oleh jurulatih, dia tidak lagi dilihat naik begitu tinggi ke atas. Namun Phong Hong diarahkan untuk menghantar bola di kakinya dengan cepat kepada penyerang di hadapan. Disebabkan itu juga, dua gol awal Vietnam adalah hasil daripada ‘assist’ yang dilakukannya.

Bek kanan Harimau Malaya, Syahmi Safari atau Rizal Ghazali perlu beri perhatian khusus untuk merantai pergerakan pemain ini.

#4 Luong Xuan Truong (No.6) 

Posisi: Pemain Tengah

Umur: 26 Tahun

Tinggi: 1.78 Meter

Kelab: Hoang Anh Gia Lai

Penampilan Musim Liga Ini: 11 penampilan (1 gol)

Apa yang dilakukan ketika menentang Indonesia: Pemain tengah ini dimasukkan oleh Park Hang-seo pada minit ke-36 untuk mengubah formasi daripada 3-4-3 kepada 3-5-2. Dalam sistem ini, dia merupakan ‘anchor’ dan nadi di bahagian tengah (membekalkan bola ke hadapan) persis kepada tugasan Azam Azih bersama Harimau Malaya. 

Kemasukannya memberikan impak kepada Vietnam untuk mendapatkan gol. Bukan itu sahaja, dia turut menyumbang satu ‘assist’ menerusi satu ‘lob pass’ kehadapan untuk gol keempat Vietnam. Kelebihannya yang lain adalah berkemampuan untuk melakukan rembatan tepat dari luar kotak penalti.

Brendan Gan yang akan kembali dalam kesebelasan utama Harimau Malaya untuk perlawanan seterusnya akan diberikan peranan khusus untuk ‘kacau’ pemain ini.

#3 Vu Van Thanh (No.17)

Posisi: Wing-Back Kanan

Umur: 25 Tahun

Tinggi: 1.72 Meter

Kelab: Hoang Anh Gia Lai

Penampilan Liga Musim Ini: 12 penampilan (2 gol, 1 assist)

Apa yang dilakukan ketika menentang Indonesia: Van Thanh menjadi pemain yang kerap dilihat melakukan ‘overlapping’ di bahagian kanan dan melakukan ‘crossing’ ke dalam kotak penalti. Selain daripada bermain di garisan tepi padang, dia juga turut bermain di kawasan ‘half space’ untuk mencari ruang bagi melakukan rembatan ke arah gol.

Ketika menentang Indonesia, dia dilihat sebagai pemain yang paling rajin dan tinggi ‘work rate’ berbanding rakan sepasukannya yang lain. Disebabkan oleh kerjaninannya, Van Thanh mendapat peluang untuk meletakkan namanya selaku penjaring keempat buat Vietnam.

Bek kiri, Corbin-ong bakal berhadapan dengan tugas sukar untuk mengekang pemain yang ‘super’ rajin ini. Bantuan daripada sayap kiri sangat diperlukan untuk ‘track back’ bagi mengelakkan bahagian kiri Malaysia tidak mudah bocor.

#2 Nguyen Van Toan (No.9)

Posisi: Penyerang

Umur: 25 Tahun

Tinggi: 1.69 meter

Kelab: Hoang Anh Gia Lai

Penampilan Liga Musim Ini: 12 penampilan (7 gol, 3 assist)

Apa yang dilakukan ketika menentang Indonesia: Penyerang ini mungkin kekurangan daripada segi fizikalnya namun kepantasan lariannya umpama lipas kudung. Ketika menentang Indonesia, Van Toan sentiasa berada satu garisan bersama barisan pertahanan lawannya sambil menunggu suapan bola daripada rakan sepasukan.

Apabila mendapat bola, dia akan melakukan larian terus ke dalam bola kotak penalti bagi memburu gol. Sedikit sahaja kealpaan oleh barisan pertahanan akan melepaskannya untuk memperoleh situasi satu lawan satu bersama penjaga gol.

Ini bakal menjadi tugasan salah seorang pertahanan tengah untuk memastikan pemain ini tidak mudah lolos ke dalam kotak penalti. Barangkali tugasan ini akan diamanahkan kepada Aidil, Irfan atau Dominic Tan.

#1 Nguyen Tien Linh (No.22)

Posisi: Penyerang

Umur: 23 Tahun

Tinggi: 1.83 meter

Kelab: Becamex Binh Duong

Penampilan Liga Musim Ini: 11 penampilan (6 gol, 1 assist)

Apa yang dilakukan ketika menentang Indonesia: Berbeza dengan Van Toa, rakan gandingannya, Tien Linh memiliki ketinggian yang baik iaitu 1.83 meter. Disebabkan ketinggian ini, dia dijadikan ‘targetman’ dalam sistem Park Hang-seo untuk menyambut bola hantaran tinggi daripada rakan sepasukan. Ketinggian inilah yang membolehkan dia menghasilkan ‘assist’ untuk gol ketiga Vietnam. 

Namun, Harimau Malaya perlu berhati-hati, dia bukan sahaja beraksi sebagai targetman untuk merebut bola tinggi semata-mata. Tien Linh juga pantas berlari dan mampu melepaskan rembatan deras sepertimana dilakukannya ketika menjaringkan gol pendahuluan buat Vietnam.

Memandangkan penyerang ini memiliki susuk fizikal yang tinggi, Cheng Hoe pastinya akan mengarahkan Dion Cools untuk menjaga pemain ini.

Rumusan: Lima pemain ini sangat menonjol dan menampilkan aksi yang cemerlang berbanding rakan sepasukan yang lain ketika menentang Indonesia. Jika dilihat kepada latar belakang mereka, 4 daripada 5 pemain ini adalah tonggak utama pasukan Hoang Anh Gia Lai. Kesemuanya juga mencatatkan sekurang-kurangnya 11 penampilan daripada 12 perlawanan musim ini.

Untuk makluman, Hoang Anh Gia Lai merupakan pasukan pendahulu V.League setakat 12 perlawanan.

Komen