Pertahanan kanan, Syahmi Safari mengakui menjalani latihan di posisi bek kiri bersama skuad Harimau Malaya sejak kebelakangan ini. Pada pendapat pemain berusia 23 tahun ini, peranan di kedua-dua posisi bek tepi adalah sama.
Walaupun Syahmi merupakan bek kanan, sekiranya diarahkan oleh ketua jurulatih untuk beraksi di posisi bek kiri, dia sedia menyahut cabaran tersebut menjelang pertemuan menentang skuad jiran tetangga, Thailand.
“Posisi itu kalau ikutkan (kepada) peranan sama sahaja (bagi) bek kiri dan bek kanan cuma kedudukan agak berbeza, kadang-kadang dalam situasi tertentu kita akan berasa sedikit kekok,”
“Kebelakangan ini saya banyak menjalani latihan di bahagian bek kiri, jika diberi peluang tidak menjadi satu masalah, kita sebagai pemain bola sepak profesional perlu menyesuaikan diri dengan situasi macam inilah,”
“Kalau kita tengok peringkat antarabangsa, banyak pemain bermain di bukan posisi asal mereka seperti Joshua Kimmich (pasukan) Jerman, macam kita tengok England semalam, Trippier main bek kiri,”
“Jadi benda ini kita perlu sentiasa bersedia dan jika diberikan kepercayaan oleh jurulatih kita perlu balas dengan sebaik mungkin.” katanya dalam sidang media dalam talian pada petang tadi.
Untuk makluman, calon pemain untuk mengisi posisi bek kiri menjadi perdebatan hangat kalangan penyokong skuad Harimau Malaya.
Perdebatan ini timbul selepas satu-satunya bek kiri tulen yang bersama skuad kebangsaan pada ketika ini, La’vere Corbin-Ong terpaksa menjalani penggantungan pada perlawanan berikutnya.
Hal ini kerana dia dilayangkan kad kuning dalam perlawanan menentang Vietnam, baru-baru ini sekaligus mengumpul dua kad kuning pada pusingan dua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 peringkat Kumpulan G.
Pertahanan Selangor ini menjadi calon yang disebut-sebut oleh para penyokong untuk mengisi posisi tersebut memandangkan dia pernah diturunkan dalam aksi pemanas badan sebagai bek kiri ketika menentang Kuwait, penghujung mei lalu.
Selain daripada Syahmi, antara nama lain yang meniti di bibir para peminat untuk mengisi posisi tersebut ialah Dion-Johan Cools, Adam Nor Azlin dan Rizal Ghazali.
Featured Image: Football Association of Malaysia