Pemain muda berusia 19 tahun, Chia Ruo Han mencuri tumpuan ramai peminat bola sepak apabila namanya disenaraikan oleh Johor Darul Ta’zim untuk mengharungi saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) yang akan bermula pada 22 jun kelak.
Ini merupakan kali pertama bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kulim (SMK Kulim) disenaraikan dalam skuad Harimau Selatan bagi beraksi di pentas kejohanan paling berprestij asia.
Pemain tengah ini membuat keputusan untuk menyertai Akademi JDT ketika berusia 17 tahun, sekitar awal tahun 2018 setelah bersekolah di SMK Kulim dari tingkatan 1 sehingga tingkatan 4.
Mengimbau kembali ketika Ruo Han masih menuntut di sekolah tersebut, kecemerlangannya dalam arena sukan membolehkan dirinya dinobatkan sebagai Tokoh Murid SMK Kulim.
Manakan tidaknya, Ruo Han pernah terbang ke luar negara untuk menjalani latihan di Manchester United Soccer School di United Kingdom (UK) dan Allianz Junior Football Camp (AJFC) di Bali, Indonesia. Selain itu, Ruo Han turut menyertai pelbagai kejohanan bola sepak samada peringkat daerah atau negeri di Kedah.
Tidak cukup dengan penglibatan dalam sukan bola sepak, Ruo Han juga terlibat dalam olahraga dengan mengambil bahagian dalam acara larian 4×400 meter, 800 meter, 1500 meter dan 3000 meter.
Berdasarkan pemerhatian, Ruo Han mula menembusi skuad simpanan, JDT II yang beraksi dalam kancah Liga Premier pada tahun 2020.
Untuk makluman, pemain kelahiran Kedah ini juga merupakan pemenang bagi program pencarian bakat televisyen, Mencari Ramli musim keenam pada tahun 2017.
Featured Image: JOHOR Southern Tigers