ACL 2021: Mora Ketepikan Cabrera Kerana Mahu Mantapkan Bahagian Pertahanan & Tengah
June 18, 2021 Hafizuddin Omar

Ketiadaan pemain sayap lincah yang memegang passport Iraq, Gonzalo Cabrera dalam senarai 30 pemain yang akan berentap dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) akhirnya dijawab oleh Johor Darul Ta’zim (JDT).

Ketua jurulatihnya, Benjamin Mora memaklumkan Cabrera diketepikan kerana ingin memperkukuhkan lagi bahagian pertahanan dan bahagian tengah skuad Harimau Selatan dengan menyenaraikan Shane Lowry dan Leandro Velazquez.

Pada masa yang sama, jurulatih kelahiran Mexico ini tidak gusar dengan ketiadaan Cabrera di bahagian sayap kiri kerana mempunyai banyak pilihan dalam kalangan pemain tempatan untuk diturunkan di poisisi tersebut.

https://sukanz.com/2021/06/17/acl-2021-jdt-senaraikan-de-paula-ketepikan-gonzalo-cabrera/

“Gonzalo Cabrera terpaksa diketepikan kerana hanya empat pemain luar negara dibenarkan dan kami ingin memantapkan bahagian pertahanan. Kami telah memilih Lowry dan bukannya Cabrera sebagai pemain import Asia kerana beliau dapat membantu Mauricio dos Santos di bahagian belakang.”

“Kami juga mempunyai banyak pilihan yang baik di bahagian sayap seperti Safawi Rasid, Arif Aiman Hanapi, Mohamadou Sumareh, Akhyar Rashid dan Ramadhan Saifullah. Leandro Velazquez telah dipilih untuk bahagian tengah kerana kami juga perlukan barisan tengah yang mantap.” katanya dalam satu kenyataan yang dikongsikan oleh Johor Southern Tigers, semalam.

Senarai 30 pemain yang akan dibawa untuk mengharungi saingan ACL 2021

Sementara itu, kehadiran penyerang naturalisasi kebangsaan, Guilherme de Paula adalah sebagai sokongan tambahan kepada Bergson da Silva di bahagian serangan.

Bukan itu sahaja, persembahan cemerlang Syafiq Ahmad bersama skuad kebangsaan dan kesungguhan yang amat menggalakkan ditunjukkan oleh Hazwan Bakri dalam sesi latihan turut menarik minat Mora untuk melengkapkan senarai 30 pemain tersebut.

Untuk makluman, JDT akan memulakan kempen ACL 2021 peringkat Kumpulan G dengan menentang wakil Jepun, Nagoya Grampus pada 22 Jun.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

Komen