Penyerang Terengganu II Pernah Berlatih Bersama Akademi Marseille Hampir 2 Tahun
June 18, 2021 Hafizuddin Omar

Siapa sangka penyerang handalan Terengganu II, Jordan Mintah pernah menjalani latihan di akademi milik pasukan bola sepak terkenal di Perancis iaitu Olympique de Marseille.

Jordan yang telah mengumpul 15 gol dalam kedua-dua saingan Liga Super dan Liga Premier setakat ini berkata dia terbang ke negara berkenaan untuk menyertai akademi tersebut di usia 12 tahun.

Bagaimanapun, hasratnya untuk mengembangkan karier di Perancis tidak dapat diteruskan disebabkan berlaku salah faham bersama ejen yang membawanya ke sana.

Oleh demikian, pada usia 14 tahun, Jordan terpaksa membuat keputusan untuk pulang negara kelahirannya, Ghana.

Karier bola sepak profesionalnya hadir selang 3 tahun kemudian dengan menyertai Medeama Sporting Club atau dahulunya dikenali sebagai Kessben FC yang berpangkalan di Ghana.

Jordan ketika menentang Perak dalam saingan Liga Super 2021

“Satu sisi yang orang ramai tidak tahu mengenai saya, Filipina bukanlah negara luar pertama yang saya berhijrah untuk bermain bola tetapi pada tahun 2010, saya pernah ditawarkan ke akademi bola sepak Marseille.

“Bagaimanapun, saya hanya berkesempatan berlatih di akademi sana selama setahun enam bulan tetapi ada masalah dengan ejen selepas detik itu ekoran masalah kewangan dan buat keputusan balik ke Ghana.

“Selepas dua musim bermain di liga tempatan, saya berhijrah ke Filipina pada umur 19 tahun pada tahun 2014 dan beraksi di sana selama enam musim,” katanya.

Untuk makluman, di pasukan pertama yang disertai oleh Jordan di luar negara ialah Stallion Laguna FC daripada tahun 2014 sehingga 2017. Usia yang muda iaitu 19 tahun tidak menghalangnya untuk menyahut cabaran jauh dari tanah kelahirannya.

Selepas empat musim beraksi bersama Stallion Laguna, dia berhijrah ke pasukan Kaya FC dan beraksi bersama pasukan ini sehingga tahun 2019.

Pada musim 2019, statusnya sebagai penjaring terbanyak Liga Filipina dengan rekod 31 gol telah menarik minat barisan kejurulatihan Terengganu II untuk mendapatkan khidmatnya bagi mengharungi saingan Liga Premier 2020.

Awal musim lalu, Jordan sempat menjadi taruhan skuad utama Terengganu di bahagian serangan bagi menggantikan David Da Silva yang ditimpa kecederaan untuk beraksi dalam saingan Liga Super.

Featured Image: Terengganu FC

Komen