Azali, Rahadi & Petrus Tunjuk Perkembangan Pemulihan Yang Memberangsangkan
June 22, 2021 Hafizuddin Omar

Tiga pemain Terengganu yang ditimpa kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) iaitu Azalinullah Alias, Rahadiazli Rahalim dan Petrus Shitembi menunjukkan perkembangan pemulihan yang memberangsangkan.

Menurut pengurus pasukan, Zulfadli Rozi memaklumkan Azalinullah dan Rahadiazli yang menjalani pembedahan pada bulan April lalu sudah mula mengikuti sesi pemulihan di gimnasium.

“Sekarang mereka masih dalam proses rehabilitasi, mengikuti pelan pemulihan daripada ahli fisioterapi kita dan banyak bertumpu kepada latihan di dalam gimnasium,”

“Mereka menunjukkan satu perkembangan yang memberangsangkan dan kedua-duanya sangat komited menjalani proses rehabilitasi supaya dapat kembali secepat mungkin (ke padang),” katanya ketika dihubungi oleh Sukanz.

Azalinullah dan Rahadiazli dilihat mengikuti sesi pemulihan di gimnasium.

Pada masa yang sama, pihaknya tidak mahu terburu-buru untuk melihat kedua-dua pemain kembali berlatih bersama rakan sepasukan yang lain. Apa yang penting adalah perkembangan pemulihan mereka seiring dengan pelan yang telah digariskan ahli fisioterapi.

Sementara itu, pemulihan kecederaan ACL melibatkan pemain tengah Namibia, Petrus Shitembi turut berada dalam pemerhatian pihak pengurusan dan kejurulatihan skuad Hitam Putih.

Bagaimanapun, pemain berusia 29 tahun ini menjalani pemulihan di sebuah pusat fisioterapi dan rehabilitasi yang berpangkalan di Kuala Lumpur.

Petrus Shitembi – Foto: Terengganu FC

“(Petrus) masih mempunyai kontrak bersama Terengganu cumanya kita ’unregister’ dia sahaja, dan perkembangan pemulihannya (kecederaan ACL) lebih cepat (berbanding Azalinullah dan Rahadiazli),” jelasnya.

Untuk pengetahuan semua, Azalinullah atau lebih dikenali sebagai Azali pula ditimpa kecederaan ACL ketika turun beraksi menentang Melaka United pada aksi keempat Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Tidak lama kemudian, penjaga gol muda Terengganu yang berusia 20 ini pula ditimpa kecederaan yang sama ketika beraksi dalam satu ‘training match’ pada penghujung bulan Mac lalu. 

Manakala, Petrus ditimpa kecederaan ACL sebelum perlawanan pertama saingan Liga Super 2021.

Featured Image: Terengganu FC

Komen