Penyiar televisyen berbayar, Astro dan platform media social, Twitter mengumumkan kerjasama baharu untuk membawakan sorotan video acara sukan monumental seperti UEFA EURO 2020 dan Sukan Olimpik Tokyo 2020 ke platform media sosial tersebut.
Dengan kerjasama ini, peminat sukan di Malaysia boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai EURO 2020 serta Sukan Olimpik dengan mengikuti akaun @AstroArena dan @StadiumAstro di platform laman sosial terbabit.
Antara maklumat terkini yang akan dipaparkan di akaun tersebut adalah sorotan perlawanan bagi kesemua 51 perlawanan EURO 2020 dan siaran langsung pertunjukan studio pra dan pasca perlawanan, serta klip-klip terpilih rancangan pasca pertandingan.
Sebagai tambahan, peminat sukan di Malaysia juga akan berpeluang untuk mengambil bahagian dalam aktiviti unik #OnlyOnTwitter yang merangkumi tinjauan media melibatkan klip promosi, reaksi perlawanan serta sesi wawancara khas.
Selain itu, dengan mengikuti akaun @AstroArena dan @StadiumAstro, para peminat juga boleh mengambil bahagian dalam Twitter Spaces, satu cara untuk mengadakan perbualan audio secara langsung di Twitter yang mana mereka akan berpeluang mendengar lebih banyak kandungan oleh Astro mengenai EURO 2020.
Klip-klip istimewa ini akan dihasilkan oleh Astro khas buat tatapan peminat di Twitter. Untuk pengetahuan semua, Astro juga bakal menyiarkan kesemua 51 perlawanan EURO 2020, serta 13 saluran yang membawakan liputan terbaik Atlet Malaysia tatkala bersaing di Sukan Olimpik Tokyo 2020.