Artikel

ACL 2021: Kesabaran Kunci Kejayaan Tumpaskan JDT, kata jurulatih Nagoya

Ketua jurulatih Nagoya Grampus, Massimo Ficcadenti percaya faktor kesabaran menjadi kunci kejayaan pasukannya menumpaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perlawanan pertama peringkat Kumpulan G, saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL), semalam.

Pasukan yang menduduki tangga ke-2 Liga Jepun itu berhasil mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas skuad Harimau Selatan menerusi jaringan tunggal oleh Hiroyuki Abe pada minit ke-60.

“Sebelum perlawanan saya memberitahu kepada para pemain mereka perlu bersabar dan sekiranya mereka hilang sabar, perlawanan akan berakhir dengan kekalahan,

“Walaupun separuh masa pertama berakhir tanpa jaringan saya tetap mengingatkan mereka untuk bersabar dan mereka kekal tenang.

“Jadi kami telah bersedia secara mental dan fizikal dan mampu memenangi perlawanan ini.

“Inilah interpretasi terhadap apa yang diperkatakan oleh saya kepada para pemain dan mereka memahaminya dengan jelas. Inilah kunci kejayaan.” katanya seperti dipetik daripada laman AFC.

Menurutnya, kedua-dua pasukan baik Nagoya mahupun JDT mempamerkan permainan yang baik secara taktikal dan menyerang titik kelemahan masing-masing sepanjang perlawanan.

Pada masa yang sama, jurulatih kelahiran Itali ini turut mengakui anak-anak buahnya menghadapi kesukaran beraksi selama 90 minit dalam keadaan cuaca lembap di Stadium Rajamangala, Bangkok.

Kemenangan pada perlawanan pertama memberikan menempatkan mereka di tangga kedua dalam Kumpulan G, di bawah Pohang Steelers dengan hanya catatan perbezaan gol sahaja yang memisahkan mereka.

Featured Image: Nagoya Grampus

komen