Pemain sayap baharu Kuala Lumpur City (KL City), J. Partiban menasihati pemain-pemain muda untuk berhijrah daripada pasukan semasa sekiranya kurang mendapat minit permainan.
Menurut pemain berusia 28 tahun tersebut, perkara itu turut dilakukannya ketika bersama pasukan negeri kelahirannya, Perak pada penghujung tahun 2014 dengan menyertai Sarawak.
“Saya ambil keputusan keluar dari Perak pada masa itu sebab mahu mendapatkan lebih banyak minit permainan dan tahun pertama saya ke Sarawak, pada mulanya memang sukar hendak dapat terus dapat kesebelasan utama.
“Namun, saya berpuas hati dapat meraih banyak pengalaman di sana dan pada tahun 2017, saya ke Terengganu, di sanalah saya dapat peluang bermainan yang cukup banyak di bawah kendalian Irfan Bakti.
“Malah, saya mampu berikan prestasi yang cukup baik semasa di Terengganu dan waktu ini rasa segala-galanya berubah dalam karier apabila semakin ramai kenal dengan saya.

“Nasihat saya kepada pemain-pemain muda jika tidak dapat minit permainan semasa di awal pembabitan karier, jangan takut ambil keputusan untuk keluar mencari cabaran baharu.
“Tunjukkan bakat anda dengan pasukan lain dan daripada situ akan hadir peluang yang lebih baik malah bekas pasukan sendiri akan berikan tawaran jika anda sudah mempunyai pengalaman bermain,” katanya.
Selepas menampilkan presembahan yang memberangsangkan terutamanya dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia bersama Terengganu pada tahun 2018, khidmat Partiban kembali dipancing oleh bekas pasukannya, Perak.
Pemain kelahiran Tambun, Perak ini tidak mengambil masa yang lama untuk menandatangani kontrak bersama skuad The Bos Gaurus yang ketika itu dibimbing oleh Mehmet Durakovic sekaligus menyarung jersi Kuning Hitam sehingga pertengahan musim 2021.
Featured Image: Perak FC