Rating Sukanz: Gerakan Arif Aiman Menjadi Duri Dalam Daging Buat Ratchaburi
June 26, 2021 Hafizuddin Omar

Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) berhasil mencetak kemenangan pertama dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) musim ini dengan mengalahkan Ratchaburi di Stadium Rajamangala.

Skuad Harimau Selatan berhasil mencetak kemenangan tersebut menerusi jaringan tunggal oleh pemain tengah kelahiran Argentina, Leandro Velazquez pada awal babak kedua.

Kemenangan ini juga memberikan 3 mata berharga pertama buat JDT sekaligus meletakkan mereka di tangga kedua dalam Kumpulan G mengatasi wakil Korea Selatan, Pohang Steelers di tangga ketiga dan juga Ratchaburi di tangga tercorot selepas dua perlawanan.

Berikut adalah rating anak-anak buah Benjamin Mora ketika menentang wakil Thailand, Ratchaburi:

Kesebelasan utama JDT menentang Ratchaburi

Penjaga Gol: Farizal Marlias – 7/10

Memandangkan barisan serangan Ratchaburi tidak begitu berbahaya, tiada sebarang ancaman bahaya perlu dihadapi oleh Farizal dan dapat mencetak ‘clean sheet’ dengan bergaya.

Pertahanan: Azrif Nasrulhaq – 5.5/10

Azrif diberikan kepercayaan untuk bermula dalam kesebelasan utama untuk menggantikan Corbin-ong. Dia banyak membantu pasukan dalam mengekalkan penguasaan bola namun tidak dalam serangan. Azrif dikeluarkan pada minit ke-65.

Pertahanan: Shane Lowry – 7/10

Beraksi dengan baik di posisi pertahanan bersama Mauricio. Sesekali dia akan melakukan hantaran jauh kepada pemain serangan.

Pertahanan: Mauricio – 7/10

Tiada sebarang masalah buat Mauricio bergandingan bersama Lowry di benteng pertahanan. Beberapa serangan dilakukan pemain Ratchaburi mudah dipatahkannya.

Pertahanan: Matt Davies – 7/10

Separuh masa pertama, Matt Davies sangat aktif melakukan overlapping untuk membantu JDT melakukan serangan. Sekitar 4-5 bola lintang dilakukannya ke dalam kotak penalti.

Pemain Tengah: Natxo Insa – 7/10

Tenang mengawal bahagian tengah selaku holding midfielder dan bergandingan baik bersama Safiq Rahim.

Pemain Tengah: Safiq Rahim – 8/10

Gandingan yang baik bersama Natxo Insa di bahagian tengah. Sumbangan terbesarnya adalah menyumbang assist buat jaringan Leandro Velazquez pada awal babak kedua.

Pemain Tengah: Leandro Velazquez – 7/10

Persembahannya pada separuh masa pertama agak tenggelam tetapi dia tampil menyinar pada babak kedua termasuk menjaringkan gol pendahuluan buat JDT selepas rehat separuh masa pertama. Keluar pada minit ke-92.

Penyerang: Arif Aiman – 8/10

Gerakannya menjadi duri dalam daging buat Ratchaburi. Gelecekannya pada awal babak kedua yang menyumbangkan jaringan buat JDT. Selain itu, Arif bergandingan dengan baik bersama Matt Davies di sebelah kanan.

Penyerang: Bergson da Silva – 7/10

Mendapat banyak suapan bola daripada rakan sepasukan dan turut melakukan banyak percubaan ke arah gawang lawan. Akan tetapi Bergson tidak begitu bernasib baik untuk meletakkan namanya selaku penjaring dalam perlawanan ini.

Penyerang: Akhyar Rashid – 5/10

Beberapa kali cuba untuk ‘dribble’ masuk ke dalam kotak. Persembahannya tidak memberikan impak yang besar di sebelah kiri. Dia dikeluarkan pada minit ke-65.

Pemain Gantian 1: Safawi Rasid – 5/10

Masuk menggantikan Akhyar Rashid pada minit ke-65 untuk bermain di posisi penyerang kanan. Beberapa kali menggerakkan bola berdekatan kotak penalti lawan namun tiada sebarang ancaman berbahaya diberikannya.

Pemain Gantian 2: S. Kunanlan – 4/10

Masuk menggantikan Azrif Nasrulhaq pada minit ke-65 untuk bermain di posisi bek kiri.

Pemain Gantian 3: Ramadhan Saifullah – 4/10

Masuk menggantikan Arif Aiman pada minit ke-72 dan cuba memberikan ancaman menerusi beberapa lariannya ke dalam kotak penalti.

Pemain Gantian 4: Syamer Kutty – 4/10

Masuk menggantikan Safiq Rahim pada minit ke-72.Tidak banyak yang dilakukan oleh Syamer di atas padang.

Pemain Gantian 5: Afiq Fazail – N/A

Masuk pada minit ke-92 menggantikan Leandro Velanzquez.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

Komen