Pertahanan Belanda, Matthijs de Ligt mengakui kesilapannya menyentuh bola dengan tangan bagi mengelakkan penyerang Republik Czech menjaringkan gol menjadi punca pasukannya tumpas pada aksi pusingan ke-16 saingan Euro 2020, awal pagi tadi.
Tindakannya itu pada awalnya diberikan kad kuning oleh pengadil perlawanan, namun dia dilayangkan kad merah setelah pengadil merujuk kembali insiden tersebut menerusi rakaman video assistant referee (VAR).
Layangan kad merah pada minit ke-55 itu telah menyebabkan Belanda bergelut untuk mengekang asakan Czech sehingga tamat permainan kerana terpaksa beraksi dengan 10 pemain sahaja.
“Kami sebenarnya kalah kerana kesilapan saya, yang rasanya sangat menjengkelkan. Sudah tentu ini sangat teruk.” katanya dipetik daripada Goal.
Menurut pertahanan berusia 21 tahun ini, permainan pada separuh masa pertama berada dalam kawalan Belanda serta mempunyai beberapa peluang yang baik.
Pada awal separuh masa kedua, Belanda juga mempunyai satu peluang ketika berhadapan dengan penjaga gol Czech dalam situasi satu lawan satu.
Namun layangan kad merah terhadapnya menjadi titik perubahan sehinggakan Czech berjaya membolosi gawang Belanda menerusi Tomas Holes dan Patrick Schick masing-masing pada minit ke-68 dan ke-80.