Pertahanan kanan PJ City, Mahali Jasuli mengakui terkejut pada awalnya apabila ketua jurulatih, P. Maniam memintanya untuk beraksi sebagai penyerang tengah.
Maniam membuat permintaan tersebut setelah penyerang utama pasukan, Darren Lok mengalami keretakan di bahagian fibula yang memerlukan pemain kacukan itu berehat panjang.
Menurut pertahanan berusia 32 tahun ini, Maniam berani mempertaruhkannya di posisi tersebut kerana Mahali pernah beraksi sebagai penyerang sewaktu bersama skuad Piala Belia Selangor, suatu masa dahulu.
“Selepas kecederaan Darren, jurulatih ada berjumpa dengan saya secara peribadi dan bertanyakan jika saya boleh bermain sebagai penyerang, secara jujurnya saya memang terkejut.
“Namun, saya beritahu jurulatih yang saya akan cuba perlahan-lahan dalam kembali mendapatkan rentak serta cuba berada dengan tahap yang sama seperti penyerang-penyerang lain di Liga Super.
“Jurulatih berani memberikan saya peluang bermain sebagai penyerang kerana dia tahu saya pernah beraksi ketika di bawah kendaliannya semasa Piala Belia.
“Bermain formasi 3-4-3, saya ini umpama penyerang tunggal dan agak sukar tugas saya kerana berseorangan di atas, ini memang satu pengalaman baharu kepada saya,” katanya.
Setakat ini, Mahali yang telah diturunkan sebagai penyerang belum mencatatkan sebarang jaringan buat skuad The Pheonix namun telah menghasilkan dua ‘assist’ buat rakan sepasukan.
Dijangka, Mahali akan terus dipertaruhkan sebagai penyerang utama PJ City untuk mengharungi baki saingan Liga Super jika Darren masih belum pulih daripada kecederaan yang dialaminya.
Featured Image: Malaysian Football League