“Kita Menang Bersama Dan Kalah Bersama” – Lloris Pertahankan Kegagalan Mbappe Sempurnakan Penalti
June 29, 2021 Hafizuddin Omar

Kapten Perancis, Hugo Lloris tampil mempertahankan rakan pasukan, Kylian Mbappe yang gagal menyempurnakan sepakan penalti sekaligus menyaksikan mereka gagal mara ke peringkat suku akhir dalam saingan Euro 2020.

Mbappe, 22 tahun, gagal menyempurnakan sepakan penalti kelima pada penentuan sepakan penalti selepas Switzerland bangkit menyamakan kedudukan 3-3 sehingga mengheret perlawanan ke masa tambahan.

“Dalam bola sepak, kita menang bersama dan kalah bersama,”

“Kami semua bertanggungjawab terhadap penyingkiran ini. Ia sangat menyakitkan dan tiada seorang pun boleh dituding jari untuk disalahkan.” 

“Kami semua bertarung bersama menentang pasukan lawan dan tiada sebarang alasan boleh diberi.”

“Dan kami perlu akui pasukan Swiss mereka sangat hebat.” kata penjaga gol Perancis kepada beIN Sports seperti dipetik daripada Goal.

Dalam perlawanan tersebut, Switzerland terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Haris Seferovic seawal minit ke-15. Bagaimanapun, Perancis tampil dengan lebih garang dengan menyumbat 3 gol menerusi Karim Benzema (57’ dan 59’) dan Paul Pogba (75’).

Skuad Les Bleus bimbingan Didier Deschamps menyangka mereka telah mendahului dengan selesa dan hanya perlu mempertahankan kelebihan dua gol tersebut sehingga tamat permainan yang berbaki hanya 15 minit sahaja lagi.

Akan tetapi, Swiss tidak mudah berputus asa dan meneruskan asakan untuk memburu gol apabila mendapat peluang. Hasilnya, Swiss berjaya bangkit menambah dua gol menerusi Seferovic (81’) dan Mario Gavranovic (90’) untuk mengheret Perancis ke masa tambahan sebelum ke penentuan sepakan penalti. 

“Saya rasa kekecewaan pada malam tadi semestinya kami boleh menguasai permainan dengan lebih baik ketika 3-1. Kekuatan kami pada masa lalu adalah menjadi kuat. Dan malam tadi, perkara itu yang tiada di dalam permainan.

“Walaupun begitu, kami tidak menyerah kalah. Kami teruskan sehingga ke penghujung. Sekarang kami perlu menghadapi keperitan ini.” ujarnya lagi.

Komen