Sangat ‘Rare’ Sesebuah Pasukan Dapat 3 Penalti Dalam Satu Perlawanan – Benjamin Mora
June 30, 2021 Hafizuddin Omar

Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT) Benjamin Mora mengatakan jarang-jarang sekali berlaku sesebuah pasukan dihadiahkan sepakan penalti sebanyak 3 kali dalam satu perlawanan.

Namun itulah yang terjadi apabila pasukan bimbingannya turun menentang wakil Republik Korea, Pohang Steelers pada aksi ketiga dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL), Isnin lalu.

Pohang diberikan 3 sepakan penalti dan menyebabkan skuad yang terkenal dengan julukan Harimau Selatan ini terpaksa akur tumpas dengan jaringan 4-1 sekaligus membuatkan mereka tergelincir ke tangga ketiga Kumpulan G selepas 3 perlawanan.

“Kekalahan 4-1 ketika menentang Pohang sangat tidak adil terhadap kami. Jarang-jarang berlaku untuk sesebuah pasukan mendapat tiga sepakan penalti dalam satu perlawanan, tetapi kami komited untuk tidak mengulangi kesalahan-kesalahan ini lagi apabila bertemu mereka esok.” katanya seperti dipetik daripada laman AFC.

Untuk makluman, JDT bakal bertemu Pohang sekali lagi bagi aksi keempat saingan ACL pada hari esok. Sepak mula kedua-dua pasukan dijadualkan pada jam 6 petang, waktu Malaysia.

Mengulas mengenai persiapan menentang Pohang, Mora memaklumkan para pemain JDT telah menjalani sesi pemulihan. Secara fizikalnya, hampir kesemua pemain sedia diturunkan.

Bagaimanapun, dua pemain pertahanan JDT iaitu Mauricio dos Santos dan Azrif Nasrulhaq tidak dapat diturunkan kerana perlu menjalani penggantungan ekoran mengumpul dua kad kuning.

“Kami telah bersedia sepenuhnya untuk perlawanan seterusnya kerana kami mahu mendapatkan mata. Kami mahu memenangi perlawanan dan kami datang untuk berikan yang terbaik. 

“Tiada pengecualian dimana kami akan berikan segala-galanya yang kami ada dan membalas dendam terhadap kekalahan kami.” ujarnya.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

Komen