Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) sedang melakukan perancangan untuk menubuhkan sebuah akademi bagi mengasah bakat muda di negeri terbabit.
SAFA akan bekerjasama dengan Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah dan Jabatan Pendidikan untuk menubuhkan akademi tersebut.
Sebuah memorandum persefahaman (MoU) akan ditandatangani oleh ketiga-tiga pihak dalam masa terdekat.
Menurut Naib Presiden SAFA, Suhaimi Nasir memaklumkan akademi tersebut bakal dinamakan sebagai Akademi Bung Mokhtar Radin selaku Presiden SAFA pada ketika ini.
“Kita akan menetapkan tarikh pelancaran akademi tersebut sebaik sahaja MoU dengan MSN dan Jabatan Pendidikan sudah dimeteraikan nanti,” katanya seperti dilaporkan oleh Utusan Borneo.
Difahamkan, akademi tersebut bakal membabitkan pemain-pemain berbakat berusia dari umur 12 tahun sehingga 18 tahun.
Penolong Setiausaha Agung SAFA, Azman Mastar turut menjelaskan pihaknya mendapatkan bantuan MSN Sabah dalam soal pembangunan kerana mereka mempunyai pengalaman terlibat dalam Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).
Selain itu, mereka turut mempunyai fasiliti seperti padang serta pengalaman dalam aspek penganjuran kejohanan bola sepak pelbagai peringkat umur.
Pada masa yang sama, Azman berkata, SAFA pula akan berusaha untuk mengadakan kejohanan peringkat umur seperti bawah 12 tahun, 14 tahun, 16 tahun dan 18 tahun.
Featured Image: Sabah Football Club