Euro 2020: Pemain Chelsea & Man City Paling Ramai di Pentas Separuh Akhir
July 6, 2021 Hafizuddin Omar

Pemain-pemain kelab yang beraksi dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) dan final Liga Juara-Juara UEFA (UCL), Chelsea dan Manchester City muncul paling ramai mara ke pentas separuh akhir Euro 2020.

Kejohanan Euro kali ini menyaksikan skuad kebangsaan Itali, Sepanyol, Denmark dan England menempa kemaraan ke pentas separuh akhir dengan bergaya selepas menumpaskan lawan masing-masing di peringkat suku akhir.

Pada peringkat awal, seramai 17 pemain Chelsea yang dipanggil untuk menyertai skuad kebangsaan masing-masing manakala Man City pula adalah seramai 14 orang.

Berdasarkan penelitian yang dibuat, daripada empat pasukan semi-finalis, England dan Sepanyol muncul pasukan yang paling banyak menggunakan pemain daripada Chelsea dan Man City. England menggunakan 7 pemain (4 Man City, 3 Chelsea) manakala Sepanyol menggunakan 5 pemain (4 Man City, 1 Chelsea).

Berikut adalah senarai pemain Chelsea dan Man City serta apa yang dilakukan oleh mereka bersama skuad kebangsaan masing-masing setakat ini:

Chelsea

Andreas Christensen (Denmark)

Pertahanan Chelsea berusia 25 tahun ini merupakan individu penting di barisan pertahanan bertiga Denmark pada kempen Euro kali ini. Setakat ini, Christensen telah beraksi dalam kelima-lima perlawanan serta menjaringkan gol rembatan padu ketika menentang Rusia pada saingan peringkat Kumpulan B. 

Mason Mount (England)

Daripada lima perlawanan, pemain tengah berusia 22 tahun ini telah melakukan 3 penampilan ketika bertemu Croatia, Scotland dan Ukraine. Daripada segi sumbangan terhadap pasukan, Mount telah mencipta satu ‘assist’ kepada Henderson menerusi sepakan sudut yang dilakukannya ketika menentang Ukraine.

Reece James (England)

Bek kanan berusia 21 tahun ini hanya diturunkan sekali ketika menentang Scotland pada perlawanan kedua peringkat Kumpulan D. Perlawanan tersebut berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan. Pengurus England, Gareth Southgate lebih gemar menurunkan Kyle Walker atau Kieran Trippier untuk beraksi di posisi bek kanan atau wing-back kanan.

Ben Chilwell (England)

Setakat 5 perlawanan yang telah dilalui oleh England, pertahanan berusia 24 tahun ini belum melakukan sebarang penampilan dalam kejohanan Euro kali ini. Lebih malang, baru-baru ini dia terpaksa menjalani kuarantin kerana menjadi kontak rapat kepada Billy Gilmour selepas perlawanan antara England dan Scotland. Perkara ini menyebabkan bek kiri ini terlepas perlawanan menentang Republik Czech.

Jorginho (Itali)

Pemain kelahiran Brazil yang bermain untuk skuad kebangsaan Itali ini menjadi nadi utama terutamanya di bahagian tengah dalam sistem permainan yang diterapkan oleh pengurus, Roberto Mancini. Setakat ini, Jorginho beraksi dalam kesemua perlawanan yang membawa Itali mara ke pentas separuh akhir. 

Emerson (Itali)

Emerson lebih banyak memanaskan bangku simpanan namun setakat ini dia telah melakukan 2 penampilan pada kejohanan Euro 2020. Penampilan pertamanya ketika turun menentang Wales pada perlawanan terakhir peringkat Kumpulan A. Penampilan keduanya hadir sebagai pemain gantian kepada Spinazzola ketika Italy menentang Belgium pada suku akhir.   

César Azpilicueta (Sepanyol)

Kapten pasukan Chelsea dan Sepanyol, Cesar telah merekodkan 3 penampilan setakat ini. Bek kanan ini diturunkan buat pertama kali ketika menentang Slovakia pada perlawanan akhir peringkat Kumpulan E dan disusuli dengan perlawanan pusingan ke-16 dan suku akhir. Bukan sahaja membantu di barisan pertahanan, Azpilicueta turut merekodkan satu gol ketika menentang Croatia.

Manchester City

John Stones (England)

Pertahanan tengah berketinggian 1.88 meter ini merupakan tonggak utama England di Euro 2020. Setakat ini, dia bermain dalam kelima-lima perlawanan buat skuad Three Lions. Kehadirannya turut membantu Englad menjadi satu-satunya pasukan yang belum mencatatkan sebarang bolos pada kempen Euro kali ini.

Kyle Walker (England)

Daripada 5 perlawanan yang telah dilalui oleh England, Kyle Walker beraksi dalam empat perlawanan. Pertahanan berusia 31 tahun ini hanya tidak diturunkan ketika England menentang Scotalnd. Merupakan pilihan utama Gareth Southgate di posisi bek kanan atau bek tengah kanan.

Phil Foden (England)

Pemain muda ini menjadi taruhan utama Gareth Southgate pada dua perlawanan awal peringkat Kumpulan D bertemu Croatia dan Scotland. Bagaimanapun, dia tidak disenaraikan pada perlawanan ketiga kerana Southgate bimbang Foden mengutip kad kuning kedua sekaligus akan diggantung pada perlawanan pusingan ke-16. Namun, selepas daripada itu, Foden hanya memanaskan bangku simpanan sahaja ketika England menentang Jerman dan Ukraine baru-baru ini.

Raheem Sterling (England)

Bintang utama England pada kejohanan Euro 2020. Beraksi di posisi sayap atau penyerang kiri, Sterling bukan sahaja bermain dalam kelima-lima perlawanan setakat ini malahan turut menjaringkan 3 gol dan satu ‘assist’ bersama skuad Three Lions. 

Rodri (Sepanyol)

Daripada 5 perlawanan yang telah dilalui oleh Sepanyol, Rodri yang beraksi di posisi ‘defensive midfielder’ turut menjadi pilihan Luis Enrique sebagai tonggak utama pasukan dengan merekodkan penampilan sebanyak empat kali. Dia hanya memanaskan bangku simpanan ketika Sepanyol turun menentang Slovakia. 

Aymeric Laporte (Sepanyol)

Sepertimana rakan sepasukannya, John Stone yang menjadi tonggak utama England, begitu juga Laporte bersama skuad La Furia Roja. Laporte merupakan salah seorang pemain penting di dalam pasukan bimbingan Luis Enrique dengan diturunkan dalam kelima-lima perlawana setakat ini. Malahan dia turut menyumbang satu gol ketika Sepanyol berpesta jaringan ketika menentang Slovakia.

Ferran Torres (Sepanyol)

Pemain yang boleh dikatakan cukup versatil di bahagian serangan. Tampil dalam kesemua lima perlawanan setakat ini tetapi apa yang paling menarik mengenai Ferran adalah posisinya bersama skuad kebangsaan Sepanyol. Setakat ini, dia telah diturunkan untuk bermain di posisi sayap kanan (utama), sayap kiri serta penyerang tengah. Dan versatiliti itu tidak menghalangnya untuk membantu pasukan dengan menjaringkan 2 gol dan 1 ‘assist’ setakat ini.

Komen