Artikel

Pasukan Yang Terlibat PKPD Diminta Mencari Stadium Baharu – CEO MFL

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League (MFL), Dato’ Ab Ghani Hassan meminta pasukan-pasukan yang berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) untuk mencari stadium atau venue baharu sebelum bermulanya saingan Liga Super dan Liga Premier pada 24 Julai nanti.

Hal ini kerana sebarang perlawanan Liga Malaysia termasuk perlawanan latihan tidak dibenarkan berlangsung di kawasan yang dikenakan arahan PKPD.

Justeru, pasukan-pasukan seperti KL City, PDRM (Stadium Bola Sepak KL), PJ City, Selangor (Stadium MBPJ), Selangor 2 (Stadium Selayang), UiTM, Skuad Projek FAM-MSN (Stadium UiTM) serta Negeri Sembilan (Stadium Tuanku Abdul Rahman) diminta untuk mencari stadium di luar kawasan PKPD untuk dijadikan venue perlawanan.

“Buat masa ini, lapan pasukan tidak dapat menggunakan venue asal mereka disebabkan PKPD dan kita tidak tahu bila tempoh PKPD ini akan ditamatkan jadi oleh itu, pasukan terbabit telah diminta untuk mencari venue baharu bagi perlawanan Liga Super dan Liga Premier yang akan bermula nanti.

Stadium Manjung

“Pihak MFL telah meminta agar pasukan terbabit bersedia dengan perancangan awal mencari stadium baharu bukan di kawasan PKPD di mana mereka boleh memohon untuk menggunakan stadium yang tidak digunakan oleh mana-mana pasukan seperti Stadium Manjung dan Stadium Batu Kawan.

“Selain itu, mereka juga boleh memohon untuk menggunakan stadium yang hanya digunakan oleh satu pasukan sahaja dan MFL akan membantu pasukan-pasukan dalam mengenalpasti stadium yang boleh digunakan.

“Dengan situasi cukup mencabar disebabkan COVID-19 ketika ini, saya berharap agar semua pasukan terus bersatu dan bekerjasama antara satu sama lain dalam memastikan kelangsungan Liga Malaysia 2021 yang mana saya cukup yakin dan percaya kita boleh mengharunginya bersama,” kata Dato’ Ab Ghani.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan, walaupun sebarang perlawanan terutamanya di kawasan PKPD tidak dibenarkan berlangsung namun semua pasukan dibenarkan menjalani latihan menerusi Camp Based Training pada ketika ini.

Featured Image: MFL

komen