Olimpik 2020: Richarlison, Douglas, Martinelli & Dani Alves Perkuatkan Brazil B-23
July 9, 2021 Hafizuddin Omar

Skuad Brazil Bawah B-23 Tahun (B-23) telah menyenaraikan beberapa bintang Liga Perdana Inggeris (EPL) berserta 3 pemain lebih umur dalam usahanya untuk mempertahankan pingat emas yang dimenangi empat tahun lalu pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 kali ini.

Menurut senarai pemain yang didaftarkan untuk beraksi di temasya tersebut, Brazil yang dibimbing oleh Andre Jardine menyenaraikan tiga pemain berstatus bintang EPL iaitu Richarlison (Everton, 24 tahun), Douglas Luiz (Aston Villa, 23 tahun) dan Gabriel Martinelli (Arsenal, 20 tahun).

Dani Alves – Foto: CBF

Sementara itu, untuk kuota pemain yang melebihi umur 24 tahun, Brazil menyenaraikan bekas bintang Barcelona, Dani Alves (38 tahun), penjaga gol Athletico Paranaense, Aderbar Melo (31 tahun) dan pertahanan tengah Sevilla, Diego Carlos (28 tahun).

Menarik berkenaan skuad Brazil ini, ada beberapa pemain muda berstatus wonderkid yang perlu diberikan perhatian. Antaranya, penyerang Bayer Leverkusen, Paulinho (20 tahun), penyerang Hertha BSC, Matheus Cunha (22 tahun) dan pemain tengah menyerang Borussia Dortmund yang dipinjam daripada Real Madrid, Reinier Jesus (19 tahun).

Reinier Jesus antara pemain termuda skuad Olimpik Brazil kali ini – Foto: IG Reinier

Untuk makluman semua, skuad Brazil telah diundi bersama-sama Arab Saudi, Ivory Coast dan Jerman dalam Kumpulan D. Saingan bola sepak lelaki dijadualkan bermula pada 22 Julai.

Berikut adalah senarai penuh 22 pemain skuad Brazil B-23:

Penjaga gol: Santos, Brenno, Lucão.

Pertahanan: Diego Carlos, Ricardo Graca, Guilherme Arana, Antony, Dani Alves, Bruno Fuchs, Nino, Abner.

Pemain Tengah: Gabriel Menino, Douglas Luiz, Bruno Guimarães, Douglas Augusto, Matheus Henrique, Reinier, Claudinho.

Penyerang: Paulinho, Matheus Cunha, Richarlison, Gabriel Martinelli.


Komen