Kelayakan Piala Asia B-23: Malaysia Tarik Nafas Lega Tidak Bertemu Korea, Vietnam
July 9, 2021 Hafizuddin Omar

Skuad Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23) boleh menarik nafas lega apabila tidak diundi bersama-sama juara bertahan, Republik Korea dan naib juara edisi 2018, Vietnam dalam pusingan kelayakan Piala Asia B-23 AFC 2022.

Dalam majlis undian pusingan kelayakan yang diadakan di Taskhkent, Uzbekistan sebentar tadi, Malaysia telah diundi bersama-sama dua pasukan dari rantau ASEAN iaitu Thailand dan Laos serta Mongolia dalam Kumpulan J.

Saingan kelayakan bagi kumpulan ini akan berlangsung di Mongolia selaku tuan rumah. Pusingan kelayakan ini akan bermula dari 23 sehingga 31 Oktober 2021.

Untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia B-23 AFC 2022, skuad muda negara yang terkenal dengan julukan Harimau Muda perlu menjadi juara kumpulan atau menempatkan diri selaku empat naib juara terbaik dalam kalangan 11 kumpulan secara keseluruhan.

Uzbekistan layak secara automatik selaku tuan rumah pusingan akhir Piala Asia B-23 AFC 2022

Sebagai rekod, pencapaian terbaik pasukan negara dalam kejohanan ini hadir ketika beraksi dalam edisi 2018 dimana skuad yang dibimbing oleh Datuk Ong Kim Swee pada ketika itu berjaya mara sehingga ke peringkat suku akhir.

Bagaimanapun, di peringkat suku akhir, mereka dihantar pulang oleh pasukan Korea setelah tumpas dengan skor 2-1. Jaringan tunggal pasukan negara pada ketika itu disumbangkan oleh N. Thanabalan.

Bagi edisi yang lalu, Piala Asia B-23 AFC 2020, skuad negara terkandas di pusingan kelayakan sekaligus gagal mara ke pusingan akhir yang berlangsung di Thailand.

Featured Image: AFC

Komen