Olimpik 2020: Badminton, Basikal Trek & Terjun Sandaran Pingat
July 13, 2021 Hafizuddin Omar

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meletakkan acara badminton, basikal dan terjun sebagai sandaran utama buat kontinjen negara untuk meraih pingat emas di temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Tiga acara tersebut juga merupakan sandaran yang sama semasa temasya Sukan Olimpik Rio 2016 yang lalu.

Bagaimanapun, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merica Naina Merican turut memaklumkan sukan-sukan yang lain turut mempunyai keupayaan untuk menyumbang pingat namun ketiga-tiga acara tersebut adalah prospek utama.

“Pada waktu ini, memadai kalau saya kata hanya tiga bidang sukan (badminton, basikal trek & terjun) itu sahaja yang mempunyai prospek yang meyakinkan,” kata Reezal dalam satu sidang dalam talian bersama-sama atlet Olimpik, baru-baru ini.

Untuk makluman, seramai 15 atlet bakal mewakili Malaysia untuk bersaing dalam ketiga-tiga acara tersebut.

Bagi acara badminton, Malaysia mempertaruhkan Lee Zii Jia (perseorangan lelaki), Soniia Cheah (perseorangan wanita), Aaron Chia dan Soh Wooi Yik (beregu lelaki), Chow Mei Kuan dan Lee Meng Yean (beregu wanita) serta Chang Peng Soon dan Goh Liu Ying (beregu campuran).

Sementara itu, bagi acara basikal trek, kedua-dua atlet, Mohd Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom akan mengambil bahagian di dalam kedua-dua acara keirin dan pecut.

Terakhir, bagi acara terjun, Malaysia akan diwakili oleh Nur Dhabitah Sabri, Ng Yan Yee, Pandelela Rinong, Cheong Jun Hoong dan Leong Mun Yee.

Komen