Zubir Azmi Hampir Gantung But & Mahu Bekerja Sebagai Ejen Takaful
July 13, 2021 Hafizuddin Omar

Bekas bek kiri skuad kebangsaan, Zubir Azmi mendedahkan dia hampir-hampir menggantung but dan membuat keputusan untuk bekerja sebagai ejen takaful.

Mujurlah pada jendela perpindahan baru-baru ini, pasukan Kelantan yang beraksi dalam kancah Liga Premier datang memberikannya tawaran untuk bermain sekaligus membatalkan niat awalnya.

Pasukan Kelantan yang dimiliki oleh Norizam Tukiman atau dikenali sebagai Zamsaham mengumumkan penyertaan Zubir secara rasmi pada penghujung Jun lalu menerusi laman sosial TRW Kelantan FC.

“Pada mulanya memang saya rasa nak berhenti terus daripada bermain bola sepak sebab saya sudah kembali bersama keluarga, jadi rasa berat hati nak tinggalkan mereka.

“Selepas itu, saya mula membantu isteri dengan menjadi ejen Takaful dan tidak terlalu fikirkan untuk kembali ke padang.

“Tetapi semangat saya ada semula selepas mendapat tawaran bersama Kelantan, dan daripada situ saya rasa masih mampu untuk buktikan kemampuan saya di atas padang.

“Jadi, saya rasa selepas ini saya memang akan terus bermain selagi masih diperlukan dan tekad ingin beraksi cemerlang di Kelantan”, jelasnya.

Untuk makluman, Zubir, 30 tahun, merupakan pemain Sabah pada musim lalu.

Dia mencipta nama dalam arena bola sepak tempatan setelah beraksi cemerlang bersama Terengganu sebelum berhijrah ke Pahang.

Bersama skuad kebangsaan, Zubir antara pemain tonggak yang membantu Harimau Malaya dalam kejohanan Piala AFF 2012 dan 2014.

Featured Image: TRW Kelantan FC

Komen