Siaran Langsung PPV Pasukan Kelantan Kembali Dibenarkan
July 13, 2021 Hafizuddin Omar

Awal musim lalu, pasukan Kelantan yang dimiliki oleh Norizam Tukiman menyiarkan sendiri perlawanan melibatkan pasukannya dalam saingan Liga Premier menerusi penstriman langsung (live streaming) secara pay-per-view (PPV).

Peminat serta penyokong setia boleh menonton aksi melibatkan pasukan kesayangan mereka itu dengan membeli pas PPV ‘live streaming’ yang dijual oleh sendiri oleh pasukan.

Inisiatif yang dilakukan oleh skuad yang terkenal dengan julukan The Red Warriors (TRW) ini bukan sahaja dapat mendekatkan lagi penyokong dan pasukan kesayangan mereka namun turut memberikan pendapatan tambahan kepada pasukan,

Bagaimanapun, beberapa ketika selepas itu, perkara tersebut dihentikan dan difahamkan ia tidak dibenarkan oleh penganjur liga, Malaysian Football League (MFL) atas beberapa sebab.

Tangkap layar status Facebook pemilik pasukan Kelantan, Norizam Tukiman, hari ini.

Namun begitu, satu perkembangan positif telah dikongsikan oleh pemilik pasukan Kelantan, Norizam menerusi laman sosialnya, pada hari ini.

“Alhamdulillah, TRW Kelantan FC akan siarkan sendiri perlawanan secara LIVE macam biasa. Terima kasih MFL.” kongsinya menerusi satu hantaran di ZAMSAHAM.

Makluman ini juga memberikan ruang buat Kelantan untuk menjana kembali pendapatan tambahan menerusi PPV. 

Selain daripada pasukan Kelantan, beberapa pasukan lain dalam saingan Liga Premier turut menyiarkan sendiri perlawanan melibatkan pasukan mereka secara ‘live streaming’.

Antaranya, Terengganu II, Negeri Sembilan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sarawak United dan beberapa pasukan lagi.

Featured Image: TRW Kelantan FC

Komen