Gary Steven Robbat Buru Minit Permainan Bersama Melaka United
July 14, 2021 Hafizuddin Omar

Pemain tengah, Gary Steven Robbat tidak menolak minit permainan menjadi pendorongnya untuk menyertai Melaka United secara pinjaman daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada jendela pertengahan musim lalu.

Bagaimanapun, pemain berusia 29 tahun ini mahu menumpukan usaha untuk mendapatkan kepercayaan barisan kejurulatihan yang diketuai oleh Zainal Abidin Hassan terlebih dahulu.

Dan perlawanan menentang Pahang selepas saingan Liga Super bersambung kelak menjadi medan buat Gary menunjukkan impak yang mampu diberikannya untuk membantu Melaka United. 

“Pertama sekali, saya kena pastikan saya dapat kepercayaan yang tinggi daripada jurulatih bahawa saya mampu untuk memberikan sesuatu kepada pasukan.

“Memang minit permainan yang saya cari, tetapi saya nak bina dahulu tahap keyakinan bersama pasukan di sini untuk saya beri komitmen yang tinggi.

“Sasaran awal saya adalah untuk perlawanan pertama menentang Pahang nanti di mana daripada situlah akan dapat menentukan bahawa saya mampu membantu pasukan atau tidak.

“Dekat perlawanan itu nantilah saya akan dapat tunjukkan sejauh mana komitmen saya kepada Melaka,” jelasnya.

Pada masa yang sama, Gary turut meletakkan sasaran penyertaannya bersama pasukan ini untuk membantu Melaka United keluar daripada zon penyingkiran.

Ketika ini, Melaka United menduduki tangga ke-11 selepas 13 perlawanan yang telah dilalui dalam saingan Liga Super.

Featured Image: Melaka United Football Club

Komen