Artikel

Djokovic Sah Bertanding Di Sukan Olimpik, Berpeluang Meraih ‘Golden Slam’

Pemain tenis No.1 dunia, Novak Djokovic mengesahkan akan turun beraksi dalam saingan tenis perseorangan lelaki pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Pengesahan tersebut diumumkan sendiri oleh Djokovic menerusi laman sosialnya awal pagi tadi.

“Saya sangat berbangga untuk mengemaskan beg pakaian untuk ke Tokyo dan menyertai kontinjen kebangsaan untuk bertarung bagi mendapatkan pingat yang paling berkilau di pentas Olimpik,” kata Djokovic menerusi akaun twitter.

Sebelum ini, Djokovic berada dalam situasi 50-50 untuk terbang ke Tokyo bagi menyertai temasya terbesar yang diadakan setiap empat tahun sekali ini. 

Ia berikutan kebimbangannya mengenai peningkatan kes jangkitan Covid-19 yang dilaporkan di Jepun.

Pengesahan untuk beraksi di pentas Olimpik kali ini membuka peluang buat Djokovic untuk muncul sebagai pemain lelaki pertama memenangi ‘Golden Slam’.

Untuk pengetahuan semua, ‘Golden Slam’ merupakan satu julukan yang diberikan kepada mana-mana pemain tenis yang berjaya memenangi kesemua empat kejohanan Grand Slam bersama pingat emas dalam temasya Sukan Olimpik pada tahun yang sama.

Djokovic bersama trofi Kejohanan Wimbledon

Untuk rekod, pemain tenis kelahiran Serbia ini telah memenangi tiga daripada empat kejohanan Grand Slam pada tahun ini. Tiga kejuaraan tersebut adalah Terbuka Australia, Terbuka Perancis dan Kejohanan Wimbledon baru-baru ini.

Manakala kejohanan Grand Slam yang terakhir ialah Terbuka Amerika Syarikat yang akan berlangsung pada September nanti.

Sebagai rekod, hanya seorang pemain sahaja yang pernah memahat nama sebagai pemenang ‘Golden Slam‘ setakat ini. Beliau adalah pemain tenis wanita kelahiran Jerman, Steffi Graf dan meraihnya pada tahun 1988.

Featured Image: Wimbledon

komen