Olimpik 2020: Malaysia Sasar 3 Pingat, Salah Satunya Adalah Emas
July 19, 2021 Hafizuddin Omar

Kontinjen Malaysia mensasarkan tiga pingat untuk dimenangi pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang akan bermula pada 23 Julai kelak.

Salah satu daripada tiga pingat yang disasarkan tersebut adalah kilauan emas. Ketiga-tiga sasaran pingat itu disandarkan kepada tiga acara sukan iaitu badminton, basikal trek dan akuatik terjun.

Menurut ciapan akaun twitter @TeamMsia, sasaran kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik itu diumumkan secara rasmi oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican pada hari ini.

Baca: Badminton, Basikal Trek & Terjun Sandaran Pingat

Untuk makluman, seramai 15 atlet akan mengambil bahagian dalam ketiga-tiga bidang sukan yang menjadi sandaran untuk memenangi pingat emas kali ini.

Badminton diwakili oleh 8 atlet, basikal trek pula 2 atlet dan terakhir akuatik terjun merangkumi seramai 5 atlet.

Baca: Pemenang Olimpik 2020 Perlu Kalungkan Sendiri Pingat

Untuk rekod, pencapaian terbaik Malaysia dalam temasya yang berlangsung setiap empat tahun sekali ini hadir pada edisi yang dilangsungkan di Rio, Brazil pada 2016 yang lalu.

Dalam edisi tersebut, Malaysia membawa pulang empat pingat perak dan satu gangsa. Tiga daripadanya disumbang oleh sukan badminton sementara acara terjun dan basikal trek masing-masing menyumbang satu pingat.

Featured Image: Olympics

Komen