Ketua jurulatih Kuala Lumpur City FC (KL City), Bojan Hodak mengharapkan tuah beraksi di laman sendiri, Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras dapat menyebelahinya apabila turun bertemu Selangor pada malam esok.
Jurulatih kelahiran Croatia ini menjangkakan pertembungan Klang Valley Derby ini akan berlangsung sengit. Malah Bojan turut melihat masing-masing KL City dan Selangor tidak dilihat sebagai pasukan pilihan untuk memenangi perlawanan pada kali ini.
Namun di pihaknya, Bojan mempunyai lebih pilihan untuk diletakkan dalam kesebelasan utama selepas menandatangani beberapa pemain baharu pada jendela perpindahan kedua, baru-baru ini.
“Untuk saya, kali ini tiada pasukan yang patut kita lihat pasukan pilihan atau pasukan bukan pilihan, semuanya sama sahaja kerana semua pasukan ada melakukan perubahan.
“Kami beraksi di laman sendiri malam esok, jadi saya harap ia akan lebih membawa tuah kepada kita untuk mengutip tiga mata nanti.
“Secara keseluruhan, saya gembira dengan pasukan saya dan saya juga ada lebih ramai pilihan untuk diletakkan dalam kesebelasan utama di mana mereka semuanya berada dalam keadaan yang baik sekarang,” jelasnya.
Pada perlawanan pusingan pertama Liga Super lalu, kedua-dua pasukan mencatatkan keputusan seri 1-1 pada aksi yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Kedua-dua gol dijaringkan oleh pemain KL City iaitu Dominique da Sylva dan Giancarlo Gallifuoco (gol sendiri) pada minit ke-80 dan ke-90.