Pelumba motosikal kelahiran Sepanyol, Hugo Millan dilaporkan maut ketika beraksi di Litar Motorland Aragon dalam kejohanan European Talent Cup, semalam.
Menurut penganjur kejohanan, pelumba berusia 14 tahun itu terlibat dalam satu kemalangan yang dahsyat di selekoh kelima pada pusingan kedua.
Ketika itu, dia terjatuh daripada jenteranya di tengah-tengah trek. Di saat dia cuba keluar daripada trek tersebut, sebuah motosikal yang datang dari belakang gagal mengelak dan merempuh Millan.
Bendera merah segera dinaikkan selepas daripada insiden tersebut. Kemudiannya, para doktor bergegas memberikan rawatan segera sebelum membawanya ke pusat perubatan.
Dia kemudiannya dikejarkan ke hospital dengan menggunakan helikopter. Disebalik usaha bertungkus-lumus dilakukan oleh pasukan perubatan, Millan gagal diselamatkan.
Juara dunia enam kali, Marc Marquez antara yang turut mengucapkan takziah di atas berita kematian pelumba muda ini menerusi laman sosialnya.
Untuk makluman, musim ini menyaksikan Millan sedang berada dalam prestasi terbaik dalam kariernya. Dalam saingan yang dianjurkan oleh FIM CEV Repsol musim ini, Millan beberapa kali telah bermula daripada kelompok hadapan dan menaiki podium.