Artikel

Domino’s Belanja Piza Percuma Seumur Hidup Kepada Pemenang Pingat Perak Olimpik

“Pertama sekali, saya mahu menjamah piza. Sudah lama saya tidak menikmatinya. Saya mahu makan dengan banyak hari ini.” itulah reaksi yang diberikan Mirabai Chanu setelah memenangi pingat pertama buat India dalam temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Atlet yang berusia 26 tahun itu memberikan reaksi tersebut dalam satu temu bual bersama-sama NDTV, baru-baru ini.

Siapa sangka luahan oleh atlet yang meraih pingat perak dalam acara angkat berat wanita kategori 49kg itu mendapat reaksi yang mengejutkan daripada Domino’s Pizza India.

“Tahniah kerana berjaya membawa pulang pingat. Anda menghidupkan impian berbilion rakyat India dan tiada yang lebih menggembirakan kami untuk memberikan anda Domino’s Pizza secara percuma seumur hidup. Tahniah sekali lagi.” tulis kenyataan Domino’s menerusi akaun twitter mereka.

Difahamkan Mirabai tidak menjamah piza sejak sekian lama kerana terpaksa mengamalkan disiplin diet yang ketat sebagai persiapannya untuk beraksi di temasya Sukan Olimpik.

Pengorbanan Mirabai tidak menjamah piza itu bukan sahaja memberikan kejayaan individu buatnya malahan turut menamatkan kemarau 20 tahun India dalam sukan angkat berat.

komen